Klik untuk besarkan

Rapid KL telah mengumumkan tiga ujian perkhidmatan bas percubaan telah pun bermula sejak semalam sehingga 1 April ini. Ia melibatkan laluan E250, E300 dan E600 yang membawa penumpang ke ibu kota Kuala Lumpur pada waktu pagi dan petang pada setiap hari Isnin hingga Jumaat.

Menurut Rapid KL, perkhidmatan itu tidak melibatkan hari Sabtu, Ahad dan cuti umum. Dan laluan yang terbabit akan melibatkan perhentian yang terhad untuk mengurangkan masa perjalanan.

Laluan E250 adalah dari LRT Wangsa Maju ke BSN Lebuh Ampang di KL. Dalam perjalanan, ia akan berhenti di pintu masuk utama UTAR, CIMB Genting Klang, BSN Genting Klang, HKL (barat), HKL (selatan), pasar Chow Kit dan Kompleks Pertama. Ia melibatkan dua perjalanan bermula jam 7 pagi dan 7.30 pagi, sementara bas petang yang bertolak dari Lebuh Ampang bermula jam 5.45 petang dan 6.15 petang. Setiap perjalanan akan mengambil masa lebih kurang 35 minit, apa pun bergantung pada keadaan trafik.

Klik untuk besarkan

Manakala laluan E300 pula adalah dari Hab Rapid KL di Sri Nilam ke BSN Lebuh Ampang. Dalam perjalanan ke KL, ia akan berhenti di LRT Ampang, Ampang Point, Citibank (Hotel Intercontinental), KLCC (utara) dan Hotel Renaissance. Dalam perjalanan balik dari KL, ia akan singgah di Munshi Abdullah, Hotel Renaissance, KLCC (pintu masuk utama), Ampang Park, Ampang Point dan LRT Ampang.

Dua perjalanan akan bergerak dari Hab Sri Nilam iaitu pada 6.30 pagi hingga 7 pagi, sementara bas petang pula akan bertolak dari BSN Lebuh Ampang pada 5 petang hingga 5,30 petang. Setiap perjalanan adalah sekitar 40 minit, juga bergantung pada keadaan trafik.

Klik untuk besarkan

Akhir sekali, laluan E600 pula adalah dari terminal Rapid KL di Puchong Utama ke Pasar Seni. Sepanjang perjalanan ke KL, ia akan berhenti di Tesco Extra Puchong, IOI Mall, Taman Bukit Kuchai, OUG Parklane, Pearl Point, Mid Valley dan KL Sentral. Manakala perjalanan pulang pula akan berhenti di Brickfields (Petron), Komersial Taman Seputeh (Mid Valley), Pearl Point, OUG Parklane, Jejantas Taman Kinrara, Skypod Residence dan Setia Walk.

Ia akan melibatkan dua perjalanan dari terminal Puchong Utama iaitu pada jam 6.20 pagi dan 6.45 pagi, sementara bas petang yang bertolak dari Pasar Seni pula pada 6.15 petang dan 6.45 petang. Setiap perjalanan dijangka mengambil masa sekitar 45 minit ke satu jam, bergantung pada keadaan trafik. Klik imej di atas dan muat turun untuk rujukan anda sekiranya anda ingin mencuba bas perjalanan pantas ini.