Institut Kajian Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) mengumumkan pihaknya akan membina sebuah litar ujian baru sepanjang satu kilometer di Sepang. Kemudahan ini akan diguna secara khusus untuk pembangunan teknologi bantu pemanduan maju, serta untuk penilaian ASEAN NCAP.

Kemudahan baru ini terletak tiga kilometer dari Litar Antarabangsa Sepang (SIC) dan mengambil masa enam bulan untuk disiapkan. Binaan dijangka bermula pada 1 Jun 2021, sementara operasi pula dijangka bermula seawal Januari 2022.

Merujuk paparan taklimat MIROS, pihaknya akan membina litar berkenaan menggunakan dana yang dicari sendiri, dan kemudian akan memindahkan ibupejabatnya yang kini berada di Kajang, ke lokasi baru tersebut melalui dana yang disediakan kerajaan, yang akan terletak bersebelahan litar ujian baru terbabit.

Tahun lalu, MIROS mendedahkan pihaknya telah menjalankan pembangunan ujian bagi sistem brek kecemasan autonomous (AEB) dalam persediaan untuk protokol baru bagi ASEAN NCAP. Bermula Januari 2021, ASEAN NCAP akan menilai sistem AEB bagi dua aspek berikut; AEB City dan AEB Inter-Urban.

Aspek pertama itu adalah bagi menentukan keberkesanan sistem antara kelajuan 10 km/j hingga 60 km/j (ke arah kenderaan pegun), sementara aspek kedua adalah penilaian ujian keberkensanan sistem dengan memandu kenderaan ke arah depan dalam kelajuan 30 km/j dan 60 km/j, ke arah kenderaan lain yang sedang bergerak dalam kelajuan sekata.