Bagi memberikan kemudahan buat para pengguna, baru-baru ini, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dengan kerjasama Rapid Bus Sdn Bhd memperluaskan lagi perkhidmatan Bas Go KL dengan membuka laluan kesembilan yang dikenali sebagai Laluan Coklat (Chocolate Line). Ia bertujuan menghubungkan kawasan perumahan awam dengan beberapa lokasi strategik.
Menurut Menteri Wilayah Persekutuan Tan Sri Annuar Musa, perkhidmatan bas percuma itu melibatkan laluan sepanjang 14 kilometer bermula dari Seksyen 10 Wangsa Maju, Projek Perumahan Rakyat (PPR) Desa Rejang, Taman Tasik Sri Rampai, menghala stesen transit LRT Sri Rampai dan kawasan-kawasan di sekitarnya.
Malahan laluan coklat itu turut melibatkan Perumahan Awam Setapak Jaya 1A juga akan menghubungkan pusat tumpuan orang ramai seperti Medan Selera D’Rejang, Masjid Abu Ubaidah dan pusat beli-belah seperti AEON BIG dan Wangsa Walk.
“Dengan kekerapan bas setiap 15 minit, perkhidmatan ini dijangka dapat memberi manfaat kepada warga kota ke stesen LRT dan ke tempat kerja terutamanya kepada golongan B40,” ujar beliau seperti mana yang dilaporkan oleh Bernama.
Beliau turut berkata, jumlah penumpang perkhidmatan Bas GO KL pada tahun lepas menurun susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan pandemik COVID-19.
“Pada tahun 2020, jumlah penumpang direkodkan seramai 9.7 juta orang dengan purata 27,000 penumpang sehari berbanding 2019 seramai 19.7 juta orang dengan purata 55,000 penumpang sehari,” jelasnya.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.