Nissan Qashqai 2021 didedahkan – imej lebih bergaya, teknologi dari X-Trail, 1.3L mild hybrid baharu, e-Power

Nissan Qashqai 2021 didedahkan – imej lebih bergaya, teknologi dari X-Trail, 1.3L mild hybrid baharu, e-Power

Semakin banyak pengeluar kenderaan memperkenalkan model baharu masing-masing biar pun dunia masih belum pulih dari ancaman pandemik COVID-19. Antara model terkini yang diperkenalkan ialah Nissan Qashqai baharu. SUV segmen-C ini telah pun memasuki generasi ketiga, banyak meminjam elemen rekaan dan teknologi daripada abangnya, X-Trail.

Untuk pengetahuan anda, Qashqai baharu ini sedikit besar berbanding model terdahulu, iaitu 35 mm lebih panjang, 32 mm lebih lebar dan 25 mm lebih tinggi, serta jarak rodanya juga 20 mm lebih panjang. Nissan berkata peningkatan dimensinya juga sekaligus menyerlahkan lagi gaya baharunya.

Berbanding dengan imej pada model sebelumnya, Qashqai baharu memiliki sudut dan garisan yang lebih tajam, merujuk kepada kebanyakan model konsep dan produksi terkini bagi barisan SUV Nissan. Pada bahagian hadapannya, kelihatan lampu utama LED berbentuk-C yang agak dramatik dengan gril V-motion – ciri yang bukan sahaja dari X-Trail tetapi juga pada model Patrol/Armada dan Pathfinder baharu. Malahan lampu utama tersebut ibarat sepasang mata yang tajam melunjur ke sudut corong pengambilan udara, sementara lampu kabus berbentuk-U kini diletakkan sedikit bawah di corong tengah.

Pada bahagian sisinya, kelihatan lipatan yang lebih menonjol disambungkan ke lampu utama dengan lampu belakang berbentuk-anak panah; bersama fender belakang yang menyerlah, memberikan pandangan yang lebih lebar pada badan Qashqai. Tiang-D pula menambahkan imej bagaikan “bumbung terapung” dengan kemasan warna dua tona. Bahagian sisi juga nampak lebar dengan padanan roda aloi bersaiz 20-inci buat pertama kalinya.

Nissan Qashqai 2021 didedahkan – imej lebih bergaya, teknologi dari X-Trail, 1.3L mild hybrid baharu, e-Power

Di dalamnya, Qashqai menggunakan papan pemuka melintang yang sama dengan X-Trail, selain didatangkan dengan roda stereng tiga-jejari, skrin infotainmen ‘freestanding’, konsol tengah landai dan tuil gear elektronik. Selain itu, ia turun diberikan pencahayaan ambien putih dan butang serta suis yang lebih ergonomik.

Pemandu juga bakal menerima pandangan yang lebih baik, hasil bukaan cermin hadapan yang lebih lebar, rekaan tiang-A yang lebih nipis dan cermin sisi dipasang di pintu berbanding di tiang-A. Selain itu, ruang lutut di belakang telah dipertingkatkan sebanyak 28 mm menjadi 608 mm, sementara ruang kepala juga ditambah sebanyak 15 mm. Ruang but kini 50 liter lebih besar (hasil lantai kargo yang rendah dan suspensi yang direka semula), dan disertakan dengan tailgate bebas tangan berkuasa baharu.

Nissan turut mengekalkan ruang storan sisi dan lantai but boleh lipar yang direka semula. Manakala pintu juga dibentukkan semula untuk memudahkan penumpang masuk dan keluar, serta bukaan pintu sehingga 90-darjah sekaligus memudahkan ibu bapa untuk memasang kerusi keselamatan kanak-kanak dengan lebih mudah.

Nissan Qashqai 2021 didedahkan – imej lebih bergaya, teknologi dari X-Trail, 1.3L mild hybrid baharu, e-Power

Teknologi di dalam kenderaan diambil dari X-Trail, ini termasuklah skrin sesentuh infotainmen sembilan-inci yang lebih besar dan memiliki resolusi yang lebih tinggi. Selain itu, ia juga diberikan ketersambungan Apple Carplay tanpa wayar dan Android Auto, WiFi hotspot dan fungsi kawalan kenderaan dari jauh dengan menggunakan aplikasi NissanConnect Services.

Turut dimasukkan ialah Google Assistant dan Amazon Alexa, navigasi pintu-je-pintu, informasi trafik secara langsung, Google Street View dna informasi harga bahan api. Penumpang belakang dan hadapan juga boleh mengakses port pengecasan USB-A dan USB-C.

Bagi aspek keselamatam, Qashqai baharu diberikan fungsi ProPilot semi-autonomous driving yang dikemaskini dengan sistem Navi-link yang membolehkan kereta ditetapkan had kelajuan, memperlahankan kelajuan di selekoh dan laluan keluar lebuhraya.Ia turut bekerjasama dengan pemantauan titik buta untuk mengelak pertukaran lorong sekiranya ada kenderaan lain dalam titik buta. Turut diberikan amaran “flank protection” yang memberikan kepekaan kepada pemandu jika ia mengesan potensi pelanggaran dengan objek di sisi kenderaan dalam kelajuan rendah, serta fungsi brek sendiri baharu untuk sistem Pengesanan Objek Bergerak.

Sementara itu, brek kecemasan sendiri kini menggunakan pengesdan radar hadapan untuk bertindak balas dengan kenderaan di hadapan, dan kenderaan akan diperlahankan, Qashqai juga dilengkapi dengan beg udara tengah yang baharu iaitu di antara penumpang hadapan.

Qashqai merupakan model Nissan di Eropah yang pertama dibangunkan dengan Common Modular Platform (CMF-C), yang turut digunakan untuk X-Trail. Ia menggunakan material yang lebih ringan dan teknik stamping serta kimpalan dalam strukturnya untuk meningkatkan ketegaran dan mengurangkan berat. Untuk bonet, fender hadapan dan pintu, ia diperbuat dari aluminium dan lebih ringan sebanyak 21 kg, manakala tailgate pula diperbuat daripada bahan komposit dan menjimatkan kadar berat sehingga 2.6kg.

Untuk kesemua itu, badannya kini 41% lebih keras tetapi beratnya berkurangan sebanyak 60kg berbanding sebelum ini. Ia juga ditambah baik aspek keselamatan, perincian, keselesaan pengendalian dan kecekpan. Suspensinya menggunakan topan MacPherson di hadapan dan palang torsi di belakang, dengan larasan multi-link di belajang untuk model pacuan semua-roda dan ia boleh dipadankan dengan roda 20-inci. Stereng berkuasa juga telah dipertingkatkan untuk memberikan respons yang lebih baik dan mengurangkan geseran.

Di bawah bonetnya, Qashqai masih mengekalkan enjin 1.3 liter pengecas turbo empat-silinder yang sama seperti Mercedes-Benz A 200 terkini, yang digandingkan dengan sistem mild hybrid 12-voltan. Ia memberikan tork tambahan ketika pendikitan dan juga dipadankan dengan Xtronic CVT. Kotak gear manual enam-kelajuan juga diberikan sebagai pilihan.

Output enjin ini sama ada 138 hp/240 Nm atau 156 hp/260 Nm – dengan kuasa terakhir itu hanya untuk CVT, dengan ledakan tork puncak cecah 270 N. Versi CVT juga merupakan satu-satunya yang ditawarkan dengan pilihan pacuan semua-roda, lebih intuitif, pintar dan didatangkan dengan mod Standard, Eco, Sport, Snow dan Off-Road.

Malahan ia juga diberikan pilihan penjana kuasa elektrik e-Power, buat pertama kalinya ditawarkan di Eropah. Kuasa dari motor ini telah dipertingkatkan berbanding unit pada Note dan Kicks, menjadikannya kuasanya mencecah 140 kW (187 hp) dan 330 Nm. Penjana kuasa petrol juga lebih besar dengan enjin 1.5 liter variable-compression yang mampu memproduksi sehingga 154 hp.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Izwaashura Sadali

Ledakan adrenalin dan impak maksima. Antara barisan ayat yang paling digemari apabila menggambarkan prestasi sesebuah jentera. Sebelum terlibat di dalam industri auto pada tahun 2011, dia sekadar gemar melihat sport rim tetapi kini lebih suka menerokai kehebatan sesebuah jentera itu.

 
 

Add a comment

required

required