Selepas diumumkan dibuka untuk tempahan semalam, maka banyaklah maklumat-maklumat baru yang muncul berkaitan SUV Perodua D55L. Daripada wakil jualan Perodua — yang tentulah ingin mendapatkan seberapa banyak jualan dan bersaing dalam pasaran — maka brosur-brosur rasmi sudah mula tersebar dan bocor kepada umum. Dan, antara yang diketahui kini ialah nama yang akan digunakan untuk SUV berkenaan — ATIVA. Apa pandangan anda tentang nama ini?

Dalam pengumuman semalam, kita sudah tahu banyak juga perincian tentang SUV kompak segmen B ini. Misalnya, ia akan ditawarkan dalam tiga varian; X, H, AV dengan harga bermula dari RM62,500 dan RM73,400, atas jalan tidak termasuk insurans, dan dengan pengecualian cukai SST hingga 30 Jun 2021 nanti.

Antara perkara utama yang ditawarkan pada Ativa ini ialah ciri lampu utama LED dengan Adaptive Driving Beam (ADB). Sama seperti Myvi, lampu utama dengan reflektor LED adalah standard untuk semua varian, tetapi ciri ADB baru bagi Perodua dan segmennya.

Ciri berikutnya ialah rim 17-inci yang akan digunakan pada Ativa. Ia unit dua-tona dengan visual rekaannya lima bilah berkembar. Ini digunakan pada varia H ke atas, yang mencadangkan varian X paling asas mungkin menggunakan rim 16-inci. Rekaan lampu belakang kombinasi LED juga nampak menonjol, mirip kepada lampu belakang Myvi, tetapi lebih tirus dan cantik. Ada kemasan yang menghubungkan dua sisi lampu berkenaan, dengan lencana Perodua di tengah.

Kemudian, paparan multi-info 7.0-inci TFT. Tidak pasti mengapa Perodua tidak menggunakan kata “panel instrumen/meter digital” untuk merujuk ciri berkenaan kerana itulah ia, dan bukan sekadar MID seperti yang ramai kenali. Ini model pertama Perodua yang menggunakan dail bukan-analog, dan hanya untuk varian H dan AV.

Di kiri pemandu terletak sebuah skrin besar; skrin sentuh sembilan-inci untuk sistem infotainmen. Dan, difahamkan sistem ini turut akan dilengkapi dengan ciri pengesanan suara, dan sekali lagi, ia hanya untuk varian H ke atas. Selebihnya, kita tahu Ativa diasaskan daripada model Daihatsu Rocky, tetapi tentunya kita berminat untuk tahu apa perbezaan penggayaan yang diubah dan diterapkan. Dari apa yang dapat dilihat setakat ini, memang ada sentuhan unik khusus Perodua, yang menandakan Ativa bukanlah 100% Rocky dari sudut penampilannya.

Dari gambar lampu depan yang ditunjukkn dalam risalahnya, ada bahagian lanjutan dari gril yang masuk ke bahagian lampu tersebut; ini juga berbeza berbanding pada Rocky. Kemasan reflektor belakang juga (corong hiasan) berbeza daripada apa yang ada pada model dari Jepun itu — Ativa mempunyai rekaan unik di bahagian bampar depan dan belakang. Bagaimanapun, untuk bahagian dalaman, rekaan kluster instrumen digitalnya sama seperti Rocky, begitu juga dengan rekaan papan pemuka.

Kelebihan lain ialah kadar penggunaan minyak 18.9 km/j yang didakwa, dan bacaan ini sangat jimat. Ia menggunakan enjin 1.0 liter turbo dan CVT; transmisi jenis ini adalah yang pertama untuk Perodua. Di Jepun, Rocky menggunakan enjin 1KR-VET 996 cc turbocas tiga-silinder dengan janaan 98 PS pada 6,000 rpm dan 140 Nm tork dari 2,400 hingga 4,000 rpm. Ativa juga dijangka menggunakan enjin sama, dengan ciri Eco Idle.

Sistem keselamatan juga dipertingkatkan dengan penawaran “ASA 3.0”. Sistem ini merangkum semua ciri sedia ada akan dikekalkan; Pre-collision Warning (PCW), Pre-collision Braking (PCB atau AEB), Front Departure Alert (FDA) dan Pedal Misoperation Control (PMC) yang memang sudah ada sebelum ini diberikan standard untuk semua varian.

Kali ini, Perodua ada nama baru untuk memayungi sistem keselamatan ini, iaitu Perodua Smart Drive Assist. Terangkum di dalamnya ialah ASA itu sendiri, Driving Assist, Parking Assist dan Headlamp Assist. Dalam kumpulan ciri Driving Assist pula, ia melibatkan Lane Departure Warning dan Prevention (LDW and LDP).

Untuk menikmati semua ciri Autonomous Tahap 2 yang lengkap, pengguna perlu memilih varian AV yang paling tinggi. Ini akan melibatka pertambahan ciri Lane Keep Control (LKC), Blind Spot Monitor (BSM), Rear Cross Traffic Alert (RCTA) dan Adaptive Cruise Control (ACC). Ini ciri yang amat bermakna; lebih ramai orang boleh memanfaatkan ciri keselamatan termaju ini dan dengan harga Ativa, ia seperti satu bonus.

Sebagai ringkasan, kita lihat juga perbezaan senarai spesifikasi antara varian Perodua Ativa SUV ini:

    2021 Perodua Ativa D55L X – jangkaan RM62,500

    Kelengkapan standard

  • Advanced Safety Assist (ASA) “3.0”
  • Pre-collision Warning (PCW, kini dengan pengesan kenderaan dua roda)
  • Pre-collision Braking (PCB atau AEB, kini dengan pengesan kenderaan dua roda)
  • Front Departure Alert (FDA)
  • Pedal Misoperation Control (PMC)
  • Lane Departure Warning and Prevention (LDW dan LDP)
  • Lampu utama LED dengan Auto High Beam
  • Lampu belakang kombinasi LED
  • Rim aloi 16-inci
  • Sensor undur
  • Enam beg udara
  • ABS, EBD, BA, VSC
  • Lampu Isyarat Brek Kecemasan
  • Hill Hold Assist
  • Isofix
  • Pilihan warna Glittering Silver, Granite Grey dan Cobalt Blue
  • 2021 Perodua Ativa D55L H – jangkaan antara RM62,500 dan RM73,400

    Tambahan:

  • Adaptive Driving Beam (lampu tinggu automatik elak silau kenderaan dari depan)
  • Paparan multi-info 7.0-inci (panel meter digital)
  • Sistem infotainmen skrin sentuh terapung 9.0-inci dengan pengesanan suara
  • Rim aloi 17-inci
  • Sensor parkir depan
  • Kamera undur
  • Pilihan warna Pearl Diamond White dan Pearl Delima Red
  • 2021 Perodua Ativa D55L AV – jangkaan RM73,400

    Tambahan:

  • Lane Keep Control (LKC)
  • Blind Spot Monitor (BSM)
  • Rear Cross Traffic Alert (RCTA)
  • Adaptive Cruise Control (ACC)
  • Pilihan Bumbung hitam dua-tona bagi warna Pearl Diamond White dan Pearl Delima Red