Perodua D55L SUV kini dibuka untuk tempahan — 1.0 Turbo CVT, BSM, LKA, ACC, 3 varian, dari RM62.5k

Perodua D55L SUV kini dibuka untuk tempahan — 1.0 Turbo CVT, BSM, LKA, ACC, 3 varian, dari RM62.5k

Setelah sekian lama kita berteka-teki, kini ada berita rasmi dari Perodua. Model SUV D55L kini mula dibuka untuk tempahan, dan dalam masa sama turut mendedahkan perincian awal bagi model yang menggunakan asas daripada Daihatsu Rocky itu. Nama yang akan digunakan masih belum diketahui, tetapi kita kini tahu bahawa SUV berkenaan akan ditawarkan dalam tiga varian — X, H, AV — dengan harga dijangka antara RM62,500 dan RM73,400, atas jalan tidak termasuk insurans, dan dengan pengecualian cukai SST.

Seperti dijangka, harga SUV D55L Perodua ini lebih mahal berbanding Myvi, dengan harga tertingginya RM52,697. Harga berkenaan bagaimanapun bertindih dengan Aruz (RM68,526 hingga RM73,226), yang hadir dengan saiz lebih besar, tetapi juga lebih ringkas berbanding SUV terbaru ini nanti.

Aruz merupakan MPV tujuh-tempat duduk dengan gaya SUV dan menggunakan ladder frame, sementara D55L pula sebuah SUV kompak segmen B yang menggunakan platform terkini Daihatsu New Global Architecture (DNGA). D55L dengan jelas akan menjadi model flagship terbaru Perodua, walaupun syarikat itu tidak menggunakan istilah ini untuk mewakilkan SUV berkenaan.

Perodua D55L SUV kini dibuka untuk tempahan — 1.0 Turbo CVT, BSM, LKA, ACC, 3 varian, dari RM62.5k

Kalau terkejut dengan tanda harga yang diumumkan itu, lihat pula senarai kelengkapan yang ada pada SUV berkenaan, terutama dari aspek keselamatan. Sejak beberapa tahun lalu, Perodua memberi perhatian terhadap penawaran ciri keselamatan pada kenderaannya, bermula dengan Advanced Safety Assist (ASA) pada 2017 untuk Myvi. Aruz kemudiannya menerima pula ASA 2.0, yang diperkemas operasi ciri amaran pra-perlanggarannya, yang kemudian diperturunkan pula kepada Axia dan Bezza.

Dengan SUV D55L, perkenalkan pula ASA 3.0, yang termasuk di dalamnya ciri yang mungkin tak ramai jangkakan pada sebuah kereta Perodua. Sistem ASA terkini bagi D55L ini akan ada pada semua varian (sebelum ini hanya ditawarkan pada varian tertinggi), dan beroperasi dalam kelajuan yang lebih tinggi berbanding versi 2.0, serta mampu mengesan kenderaan roda dua (pengesanan pejalan kaki sudah ditambah dalam versi 2.0).

Baru bagi versi 3.0 ini ialah Amaran Mengekalkan Lorong (LDW), yang ditawarkan standard bagi semua varian. Bagi varian AV yang paling tinggi, ia menerima tambahan Kawalan Mengekalkan Lorong, Peninjau Titik Buta, Amaran Lintasan Trafik di Belakang serta Kawalan Melayar Adaptif! Semua kelengkapan pemanduan autonomous Tahap 2 ini adalah bonus bagi tanda harga seperti ini, dan bagi ASEAN NCAP juga dijangka SUV ini akan menerima penarafan lima-bintang.

Perodua D55L SUV kini dibuka untuk tempahan — 1.0 Turbo CVT, BSM, LKA, ACC, 3 varian, dari RM62.5k

ASA 3.0 ini bukanlah satu-satunya yang terbaru daripada Perodua. SUV D55L juga merupakan kenderaan pertama Perodua yang dilengkapi enjin turbocas, serta model pertama jenama ini yang menggunakan CVT bagi menggantikan kotak gear automatik empat-kelajuan sebelum ini. Menurut Perodua, gandingan turbo-CVT ini berhasil memberikan kecekapan minyak pada kadar 18.9 km/l.

Bagaimanapun, tiada pendedahan lanjut tentang sistem janaan kuasa SUV ini. Namun, jika dilihat penawaran di Jepun, Daihatsu Rocky dan Toyota Raize dikuasakan oleh enjin 1KR-VET 1.0 liter (996 cc) turbocas tiga-silinder yang menghasilkan 98 PS pada 6,000 rpm dan 140 Nm tork dari 2,400 hingga 4,000 rpm. Ia unit enjin sama yang digunakan pada Axia dan Bezza, tetapi dengan turbo. Unit DOHC VVT juga ada fungsi Start/Stop Eco Idle.

Myvi generasi ketiga meletakkan penanda aras baru bagi Perodua sebagai kereta mampu milik di Malaysia, dari banyak sudut pada tahun 2017 dulu (dan masih belum terjangkau oleh Proton), dan kini D55L akan melakukan perkara sama bagi tahun 2021. Banyak ciri yang pertama kali diperkenalkan untuk kenderaan keluaran Perodua akan ada pada SUV ini.

Perodua D55L SUV kini dibuka untuk tempahan — 1.0 Turbo CVT, BSM, LKA, ACC, 3 varian, dari RM62.5k

Sebagai contoh, D55L akan hadir dengan lampu utama LED sebagai ciri standard untuk semua varian, sementara varian H dan AV akan menerima tambahan Adaptive Driving Beam (lampu belokan aktif), paparan digital multi-info tujuh-inci (panel instrumen digital) dan skrin sentuh sistem infotainmen sembilan-inci dengan pengecaman suara.

Ini saja perincian yang dikongsikan oleh Perodua setakat ini. Selebihnya adalah sama seperti apa yang sudah kita ketahui sebelum ini. Ia juga merupakan model pertama di bawah strategi Perodua Smart Build dan merupakan model penanda aras terbaru Perodua bagi aspek penggayaan, keselamatan, teknologi, kelengkapan dan nilai.

Pilihan warna yang ada terdiri daripada Glittering Silver, Granite Grey dan Cobalt Blue bagi varian X dan H, dengan varian H turut didatangkan dalam warna lain seperti Pearl Diamond White dan Pearl Delima Red. Bagi AV, pilihan yang ada ialah Glittering Silver, Granite Grey, Pearl Diamond White dan Pearl Delima Red, termasuk pilihan dua-tona (bumbung hitam) bagi dua warga terakhir itu. Jaminan lima-tahun/150,000 km datang sekali dengan pembelian.

Adakah D55L ini lawan yang setara kepada Proton X50? Jawapannya tidak, kerana D55L merupakan SUV yang lebih kecil (335 mm lebih pendek, 105 mm kurang lebar, 75 mm lebih pendek bagi jarak antara roda). Enjinnya juga lebih kecil (1.0L vs 1.5L, kedua-duanya ada desakan turbo) dan harganya lebih rendah berbanding X50, yang dijual antara RM79,200 hingga RM103,300.

Dengan sekitar RM6k lebih mahal, model paling asas X50 Standard mempunyai kelebihan dari sudut kapasiti enjin dan saiz badan lebih besar, sementara D55L AV lebih dari sudut keselamatan dan kelengkapan. Perodua dijangka akan melancarkan SUV ini bulan depan sekali dengan pengumuman namanya. Apa macam pakej penawaran keseluruhan D55L ini, boleh lawan Proton X50?

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Hazril Hafiz

Berkecimpung di dalam media automotif tempatan sejak 10 tahun lalu, Hafiz mengimpikan sebuah Malaysia dengan jaringan sistem pengangkutan awam yang lebih cekap dan menyeluruh. Tugas terakhirnya sebelum menyertai laman web ini ialah sebagai editor sisipan automotif sebuah akhbar arus perdana.

 

Comments

  • Mohd Faizul on Feb 19, 2021 at 4:36 pm

    Pergh… Dah berbulan tunggu X50, baik cancel je order amik SUV Perodua ni. Dengar kata nama D55L ni Perodua Ativa… betul ke? Cool gak. Harga pun mantap. Hidup Ativa!!

    Like or Dislike: Thumb up 0 Thumb down 1
  • D55L tu ape? on Feb 19, 2021 at 4:40 pm

    Apa la D55L D55L. Susah baca. Tulis Ativa terus la, semua orang dah tau kot. Perodua Ativa, can cantik bunyi

    Like or Dislike: Thumb up 0 Thumb down 0
  • Ativa la on Feb 19, 2021 at 4:43 pm

    Bukan kt FB dah banyak keluar nama Perodua Ativa ke? Tak payah la panggil dia D55L lagi. Siap ada brochure lagi dgn nama Ativa. Dah komfem la tu

    Like or Dislike: Thumb up 0 Thumb down 0
  • Bila nak lancar ni…. Nak bt tempahan lah juga ni…. Lama dah tunggu

    Like or Dislike: Thumb up 0 Thumb down 0
  • Fauzi on Feb 20, 2021 at 7:08 pm

    Mahal la cc kecil je

    Like or Dislike: Thumb up 0 Thumb down 0
 

Add a comment

required

required