Persatuan Automotif Malaysia (MAA) telah mengeluarkan data jualan kenderaan di Malaysia bagi bulan Januari 2021. Keseluruhannya 32,829 unit telah diserahkan bulan lalu, yang merupakan pengurangan sebanyak 36,007 unit atau 52.3% berbanding 68,836 unit yang dijual pada Disember 2020. Angka tersebut juga 10,113 unit atau 23.5% berkurang berbanding tempoh sama tahun lalu, yang mencatatkan angka 42,942 unit jualan.

MAA menggariskan beberapa sebab utama yang mendorong kepada situasi itu. Pertama, jumlah kunjungan ke bilik pameran telah terkesan akibat pengenalan semula Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak 13 Januari, walaupun bilik pameran kenderaan dibenarkan untuk beroperasi untuk tempoh itu.

Kedua, jualan atau pembelian kenderaan dilakukan dalam bulan Disember 2020 dengan jangkaan bahawa tempoh pengecualian cukai SST akan berakhir pada 31 Disember 2020, seperti yang diumumkan sebelumnya, yang kemudian dilanjutkan hingga 30 Jun 2021. Ini mengakibatkan stok berkurangan untuk Januari 2021 bagi sesetengah pengeluar.

Persatuan itu turut menambah, penutupan operasi sebahagian pembekal automotif akibat Covid-19 juga telah memberi kesan kepada sesetengah pengeluar yang terganggu aliran bekalan komponen, dan kemudian memberi kesan kepada jualan. MAA juga menjangkakan angka jualan bulan Februari ini akan lebih rendah berbanding bulan lalu, disebabkan oleh tempoh bekerja yang lebih pendek untuk bulan ini.