Semua jenama kenderaan pastinya mahu mendominasi atau pun mengungguli segmen masing-masing, namun ia pastinya bergantung pada jualan produk masing-masing. Bagi segmen kenderaan premium, BMW dan Mercedes-Benz memang bersaing rapat. Walau pun persaingan itu tidak lah sepanas bagi jenama kenderaan ‘mainstream’, namun kedua-dua jenama berkenaan memang ada cukup digemari bagi penggemar kenderaan premium di sini.

Buktinya, dari tahun 2015 hingga 2019, Mercedes-Benz menjadi pilihan teratas bagi segmen premium dengan prestasi jualan tahunan yang begitu menggalakkan. Namun demikian, pada tahun lalu, kedudukan Mercedes-Benz telah dipintas oleh BMW dengan catatan jualan yang lebih tinggi biar pun ketika negara dalam ancaman pandemik COVID-19.

Baru-baru ini, BMW Group Malaysia telah mengumumkan prestasi jualan bagi tahun 2020 di mana angka yang dicapai itu dikatakan telah “meletakkan jenama ini di tangga pertama dalam segmen premium automotif” bagi tahun lalu.

Syarikat tersebut telah menghantar sebanyak 11,016 kenderaan jenama BMW, MINI dan BMW Motorrad pada tahun lalu. Ia sedikit menyusut sebanyak 551 unit (atau kurang 4.76%) berbanding tahun 2019 iaitu 11.567 unit, tetapi jumlah yang dicapai pada tahun lalu agak memberangsangkan dalam negara sedang bergelut dnegan ancaman COVID-19.

Secara spesifiknya, BMW sendiri telah mencatatkan sejumlah 8,903 unit, berbanding 9,300 unit pada 2019. Walau bagaimana pun, angka pretasi pada 2020 dikatakan telah mengatasi jualan Mercedes sendiri dengan jualan sebanyak 10,020 kereta pada 2019 dan juga kurang berbanding yang dicapai oleh BMW pada tahun lalu.

Sejak tiga tahun lalu, syarikat tersebut juga telah memperkenalkan 25 model baharu daripada ketiga-tiga kenama, empat daripadanya adalah model elektrifikasi. Daripada perspektif jualan, model dari 3 Series G20 mendahului bagi jenama BMW. Terjual melebihi 2,500 unit, 1,400 unit daripadanya adalah dari varian 320i Sport.

Ini diikuti oleh 5 Series G30 dengan jualan melebihi 1,600 unit, dan lebih 900 unit pula merupakan varian 530e M Sport plug-in hybrid. Selain itu, ia juga menjual lebih 3,200 kenderaan dari barisan X bagi SAV, dengan model X1 LC1 F48 (sDrive 18i dan sDrive20i M Sport) terjual melebihi 1,000 unit secara keseluruhan.

Bagi MINI pula, ia mencatatkan jualan sebanyak 987 unit – dengan model Countryman mendahului carta, lebih 47% pula disumbang oleh Cooper S Countryman. Sementara itu, BMW Motorrad pula mencatatkan rekod sebanyak 1,126 unit, melebihi jualan pada 2019. Seperti tahun sebelumnya, segmen Adventure mendahului carta dengan jualan lebih 670 unit motosikal.

Bagi model elektrifikasi, dari tahun ke tahun, jualannya kian memberangsangkan. Walau tidak semeriah jualan pada 2019 yang tercatat sebanyak lebih 3,100 unit kenderaan elektrifikasi bagi BMW dan MINI, pada tahun lalu, ia sedikit menyusut dengan rekod lebih 2,200 unit, namun masih mendahului carta bagi segmennya.

BMW Group Malaysia turut mendedahkan, BMW Financial Services Malaysia telah membiayai lebih 42% bagi kenderaan BMW, 45% untuk kenderaan MINI dan 60% untuk motosikal BMW Motorrad yang terjual pada tahun lalu. Ia turut ditambah dengan pendigitalisasi yang lebih memudahkan pelanggan menerusi platform kewangan secara dalam talian BMW Enggage.

Bukan setakat prestasi jualan, tahun lalu, BMW Group Malaysia turut aktif dengan pelbagai program kemasyarakatan termasuk sokongan terhadap pertubuhan bukan kerajaan (NGO) seperti Refuge for the Refugees, Tenaganita, Empire Project dan Malaysia Muda dalam sumbangan bantuan makanan dan keperluan asas untuk lebih 80,000 golongan yang memerlukan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Selain itu, syarikat ini juga telah mewujudkan inisiatif #BMWSupportsLocal sebagai sokongan terhadap pelbagai perniagaan kecil bagi meneruskan kelangsungan hidup sehingga hari ini.