Kalau teringat ayam goreng, mesti terbayang KFC kan. Semalam, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Kedah mengumumkan pihaknya berjaya meraih kutipan sebanyak RM2 juta menerusi bidaan siri plat nombor pendaftaran kenderaan KFC yang dibuka pada 13-17 Februari lalu. Menurut Pengarah JPJ Negeri Kedah, Abdul Rahman Emang Anyie, kutipan bidaan tertinggi bagi siri ini ialah “KFC 7” dengan jumlah bidaan sebanyak RM52,000 dan “KFC 9” sebanyak RM48,000.

Berita ini turut menarik perhatian pihak KFC Malaysia yang ingin berkongsi kegembiraan dengan kejayaan bidaan siri berkenaan, lantas membuat keputusan untuk mengadakan bidaan umum buat julung kalinya untuk KFC Original Plate (pinggan sebenar) edisi terhad pada 25 Februari 2021, 11pagi hingga 11 malam di laman Facebook KFC.

Bidaan dibuka bermula RM11 di mana rakyat Malaysia boleh menyertai dengan kenaikan bidaan minimum RM1. Pembida tertinggi akan disahkan sebagai pemenang di mana 100% keuntungan akan disalurkan kepada KFC Add Hope Malaysia – unit tempatan initiatif global KFC dalam usahanya untuk mengakhiri kebuluran.

“Kami di KFC Malaysia mahu anda tahu bahawa kami turut berkongsi rasa kasih anda terhadap KFC dan dengan sukacitanya kami mahu menambahkan lagi keseronokan dengan pembukaan bidaan KFC Original Plate. Rekaan pinggan ini mengetengahkan “KFC 11” yang mimik nombor pendaftaran kereta dan pada masa yang sama melambangkan 11 herba dan rempah rahsia ikonik jenama ini.

“Pembida tertinggi akan menjadi satu-satunya pemenang pinggan ini yang ada satu unit sahaja di dunia, dengan setiap keuntungan disalurkan untuk tujuan amal,” kata Evelyn Ng, Timbalan Pengarah Besar Pemasaran KFC Malaysia.