Triumph Bonneville diberi peningkatan enjin serta kelengkapan untuk tahun 2021 – pilihan tujuh model

Triumph Bonneville diberi peningkatan enjin serta kelengkapan untuk tahun 2021 – pilihan tujuh model

Triumph Bonneville T100 2021

Bagi tahun 2021 ini, Triumph telah memberikan peningkatan kepada barisan model Bonneville, yang terdiri daripada T100, T120, T120 Black, Street Twin, Speedmaster dan Bobber, dan ia melibatkan enjin serta juga kelengkapan lain.

Bagi model permulaan, T100, ia masih lagi menggunakan unit enjin dua silinder selari 900 cc, tetapi dinaik taraf untuk menepati tahap emisi Euro 5 dan kini menghasilkan lebih 10 PS berbanding sebelum ini, iaitu 65 PS pada 7,400 rpm dan 80 Nm tork pada 3,750 rpm. Maklum balas enjin juga ditambah baik dan enjin itu sendiri sekarang boleh dikerah 500 rpm lebih tinggi.

Untuk suspensi, fork baru dipasang pada model ini, sementara angkup brek hadapan pula dinaik taraf dengan unit daripada Brembo. Secara keseluruhan, T100 2021 adalah 4.0 kg lebih ringan berbanding model sebelumnya dan bahagian pelindung cam serta enjin disalut dengan cat hitam. Waktu selang servis enjin ini dinaikkan kepada 10,000 km.


Triumph Street Twin Gold Line 2021

Model Street Twin juga menggunakan enjin dan angkup brek baru sama seperti T100 (kuasa juga sama), tetapi tempat duduknya adalah lebih rendah iaitu 765 mm berbanding 790 mm pada T100. Peningkatan lain pada Street Twin adalah termasuk rim aloi baru, tempat duduk lebih selesa serta kemasan pada badan yang lebih segar.

Istimewanya bagi tahun ini, Triumph turut memperkenalkan satu versi keluaran terhad Street Twin Gold Line (hanya 1,000 unit), di mana ia menggunakan warna Sapphire Black dengan garis cat emas buatan tangan, panel tepi dengan logo Street Twin buatan khas serta sijil keluaran.

Model Bonneville yang selebihnya menggunakan enjin dua silinder selari 1,200 cc High Torque, tetapi dengan kuasa yang berbeza iaitu 80 PS dan 105 Nm tork untuk T120 dan T120 Black, serta 78 PS dan 106 Nm tork untuk Speedmaster dan juga Bobber.

Triumph Bonneville diberi peningkatan enjin serta kelengkapan untuk tahun 2021 – pilihan tujuh model

Triumph Bonneville Speedmaster 2021

Bagi T120 dan T120 Black, breknya dipertingkat lagi dengan angkup Brembo serta tetapan cakera berkembar sementara cruise control kini diberikan secara standard. Perisian bagi mod tunggangan telah dirujuk semula dan panel instrumen kini menggunakan paparan baru.

Rim aluminium serba ringan pada model T120 membantu menjadikan berat keseluruhannya berkurang 7.0 kg berbanding sebelum ini, sementara pilihan warna pula ada tiga. Bagi T120 Black, selain tangki dan panel tepi yang berwarna hitam, bahagian lain seperti pelindung enjin, tepi rim, pemegang belakang, keliling lampu serta ekzos juga dicat hitam (powdercoat) manakala tempat duduk pula menggunakan warna coklat.

Pergi kepada model Speedmaster, kedudukan menunggang di atasnya telah diperbaiki, dengan tempat duduk serendah 705 mm dengan penyokong belakang untuk penunggang sementara tempat duduk belakang pula dijadikan 11 mm lebih tebal untuk keselesaan. Ia juga boleh ditanggalkan dan diganti dengan rak meletak barangan. Pada bahagian kawalan, Speedmaster kini datang dengan fork Showa di hadapan manakala monoshock belakang dengan pelarasan pra beban masih lagi sama.


Triumph Bonneville Bobber 2021

Model terakhir dalam siri Bonneville 2021 ini adalah Bobber, di mana sekarang ia menggunakan rim 16 inci di hadapan, bersama fork 47 mm. Pelindung enjin, cam serta sprocket dicat warna hitam manakala semua lampunya pula kini menggunakan unit LED.

Bertindak atas maklum balas pengguna sebelum ini, Triumph telah meletakkan pelarasan pada tempat duduk Bobber, supaya ia boleh disesuaikan dengan tinggi penunggang yang berbeza. Panel paparan instrumen juga boleh dilaras supaya dapat dilihat dengan mudah dan terang.

GALERI: Triumph Bonneville T120 2021

GALERI: Triumph Bonneville T120 Black 2021

GALERI: Triumph Bonneville T100 2021

GALERI: Triumph Street Twin 2021

GALERI: Triumph Street Twin Gold Line 2021

GALERI: Triumph Bonneville Speedmaster 2021

GALERI: Triumph Bonneville Bobber 2021

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Durrani Sharom

Mempunyai latar belakang yang pelbagai termasuk sebagai pengurus tapak, pemandu van/lori dan pelbagai lagi, Durrani akhirnya masuk ke dalam bidang penulisan automotif lapan tahun lalu. Apa sahaja yang beroda dan berenjin membuatkan beliau teruja dan beliau percaya ‘mesin pengangkutan' ini sepatutnya adalah sesuatu yang mampu memberikan pengalaman menyeronokkan kepada penggunanya.

 
 

Add a comment

required

required