SPYSHOT: Perodua Ativa dengan kit GearUp terdedah!

SPYSHOT: Perodua Ativa dengan kit GearUp terdedah!

Sebelum ini susah kita nak dapat gambar-gambar model baharu Perodua yang bocor sebelum pelancarannya, tapi lain pula untuk Perodua Ativa kali ini. Semalam dah terdedah sebuah Ativa yang dilihat sedang dipindahkan dari lori pengangkut ke bilik pameran pada waktu malam, dan set imej yang baru kami terima ini pula pada waktu siang dan ia adalah unit dengan kit GearUp!

Set gambar ini kami terima dari pembaca, Sulaiman Hamid. Ia mendedahkan dengan lebih jelas bahawa Ativa direka dengan muka yang unik, tak sama dengan kembarnya di Jepun iaitu Daihatsu Rocky dan Toyota Raize – ini amalan biasa untuk projek-projek Daihatsu-Toyota-Perodua sebelum-sebelum ini.

Ativa menerima gril hadapan lebih besar, bersambung dengan lampu hadapan, berbanding Rocky yang di berikan gril heksagon yang tidak bersentuhan dengan lampu. Ativa juga tidak diberikan bar LED untuk lampu kabus, sebaliknya ia diberikan lampu berbentuk bulat bersama perumah segi tiga seperti Aruz bersambung dengan kemasan berbentuk-L terbalik.

Tiada imej untuk bahagian belakang untuk set gambar kali ini. Namu pada gambar spyshot sebelum ini dapat dilihat lampu Ativa dan juga kemasan yang merentangi pintu tailgate masih nampak hampir seiras dengan Rocky. Tetapi Perodua menghasilkan rekaan lebih tersendiri pada bampar menampilkan kemasan perumah reflektor cahaya dengan bentuk seperti huruf-F, bersama kemasan bawah bersama skid plate dengan rekaan seakan sama dengan Axia Style.

SPYSHOT: Perodua Ativa dengan kit GearUp terdedah!

Beralih kepada kit GearUp yang dipadankan pada SUV segmen-B ini, Perodua nampaknya memberikan rekaan yang agak ‘sibuk’. Kit badan yang diberi nama Blaze tersebut menampilkan kemasan tambahan pada bawah bampar dengan rekaan skid plate seperti gigi taring, skirt sisi dengan sedikit kemasan krom di hujung belakang, dan juga kemasan tambahan pada bahagian perumah nombor pendaftaran belakang bersama tip ekzos palsu dalam kemasan krom.

Menerusi satu risalah yang kami terima, kit badan GearUp Blaze ini akan dijual pada harga RM2,500. Dan bukan ini sahaja aksesori GearUp yang ditawarkan untuk Ativa, pembeli turut boleh memilih balutan tempat duduk Blaze, pelindung bampar belakang, scuff plate LED, lampu kabin pada bahagian lantai kaki, jaring barangan, penebat penutup hud, dan juga pakej Ultility (visor pintu, tray barangan dan karpet coil) dengan harga bermula RM30 hingga RM800.

Perodua Ativa, Daihatsu Rocky dan juga Toyota Raize diasaskan dari platform generasi baharu Daihatsu New Global Architecture (DNGA), yang dihasilkan dari platform terkini Toyota New Global Architecture (TNGA). Ia dijana oleh enjin 1KR-VET 1.0 liter tiga-silinder turbo berkuasa 98 PS pada takat 6,000 rpm dan tork maksima 140 Nm bermula 2,400 hingga 4,000 rpm.

Ativa tidak menerima pilihan sistem pacuan semua roda, di mana kuasa dari enjin hanya dihantar ke roda hadapan menerusi kotak gear baharu D-CVT automatik, bersama butang Power dan juga mod manual yang memberikan tujuh-kelajuan maya.

SPYSHOT: Perodua Ativa dengan kit GearUp terdedah!

SUV kompak terkini Perodua ini juga dibekalkan dengan sistem bantuan pemanduan keselamatan Advanced Safety Assist (ASA) standard untuk setiap varian, merangkumi sistem seperti brek kecemasan automatik, bantuan kekal lorong, amaran kekal lorong dan juga lampu tinggi automatik.

Bagi model tertinggi Ativa AV, kelengkapan yang dibekalkan jauh lebih maju menampilkan sistem Driving Assist, dengan sistem seperti Adaptive Cruise Control, bantuan tengah lorong, pemantau titik buta dan juga amaran lintasan trafik belakang.

Perncian lain yang turut diberikan pada Ativa termasuk lampu hadapan LED matrix, paparan instrumen digital tujuh-inci dan juga skrin sesentuh sistem infotaimen yang berdiri sendiri bersaiz sembilan inci untuk model H dan AV.

Perodua mengumumkan bahawa Ativa bakal dilancarkan pada 3 mac ini, dan akan dijual pada harga atas jalan tanpa insuran bermula RM62,500 hingga RM73,400. Wakil kami, Danny Tan sudah pun memandu uji model paling canggih pernah dihasilkan oleh Perodua ini tempoh hari, dan anda boleh baca artikel berkenaan pada PAUTAN INI.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 

Comments

 

Add a comment

required

required