Volvo XC60 2021 terima peningkatan gaya, kit baharu

Volvo XC60 2021 terima peningkatan gaya, kit baharu

XC60 Inscription

Volvo XC60 telah pun diberikan peningkatan, dengan membawakan sedikit perubahan gaya dan penambahan kit baharu. Berdasarkan maklumat yang diperoleh dari laman web jenama Sweden ini, SUV yang dipertingkatkan akan didatangkan dengan tiga penjana kuasa plug-in hybrid, kesemuanya dengan enjin 2.0 liter pengecas turbo empat-silinder dan motor elektrik yang dipasang di belakang untuk pacuan semua-roda.

Pilihan asas merupakan Recharge T6 AWD, di mana enjin pembakaran dalaman ini mampu memberikan hingga 253 PS (250 hp) dan tork 350 Nm. Dengan e-motor yang menyalurkan kuasa tambahan sebanyak 87 PS (86 hp) dan 240 Nm, keseluruhan sistem output boleh mencecah 340 PS (336 hp) dan 590 Nm, di mana ia bagus untuk pecutan dari sifar ke 100 km/j dalam 5.9 saat.

Varian pertengahan ialah Recharge T8 AWD, yang juga menggunakan e-motor yang sama, tetapi enjinnya boleh menghasilkan 330 PS (299 hp) dan 400 Nm, jadi kuasa keseluruhan mencecah 390 PS (385 hp) dan 640 Nm. Pecutan dari 0-100km/j mampu dicapai dalam 5.5 saat.

Manakala model tertinggi pula, Recharge T8 AWD Polestar Engineered mampu menghamburkan sehingga 405 PS (400 hp) dan 670 Nm, dengan penjana kuasa petrol memberikan sehingga 318 PS (313 hp) dan 430 Nm. Pecutan dari 0-100 km/j boleh dicapai dalam 5.4 saat.

XC60 Inscription

Bergantung pada pemilihan penjana kuasa, pemilik boleh mendapat sekitar 45 hingga 53 km untuk pacuan elektrik sahaja, dengan penjimatan bahan api lebih kurang dari 2.4 l/100 km untuk T6 dan T8, dan 3.3 l/100 km untuk pilihan enjin yang lebih berkuasa. Tidak diketahui adakah varian PHEV ini untuk semua pasaran, memandangkan Volvo sedang dalam langkah untuk menamatkan pengeluaran model kenderaan dengan enjin pembakaran dalaman bagi digantikan dengan EV menjelang 2030.

Bateri lithium-ion 11.6-kWh yang menjanakan e-motor, dan dengan pacuan elektrik sepenuhnya, kelajuan maksimum mampu mencecah 125 km/j. Untuk pengecasan, terdapat pengecas onboard AC berkapasiti 3.7 kW, di mana pengecasan penuh dengan sambungan Type 2 mengambil masa sekitar tiga jam.

Spesifikasi ini tidak berubah dari apa yang ditawarkan sebelum ini, namun XC60 ini didatangkan dengan rekaan baharu. Bermula dengan Inscription, ia diberikan bampar hadapan baharu dengan seksyen “lampu kabus” yang lebih besar disambungkan dengan kepingan kemasan perak yang melunjur hingga ke tengah.


XC60 R-Design (kiri), Polestar Engineered (kanan)

Apron bawah pula disambung dengan kemasan krom yang menggantikan skid plate. Untuk bahagian belakang pula agak ringkas, dengan skid plate dan kemasan ekzos disingkirkan.

Manakala bagi R-DEsign pula, ia diberikan rekaan yang lebih agresif termasuk profil “X-wing” untuk bahagian bampar dengan lapisan yang sama dengan warna badan. Ia juga diberikan corong pengambilan bawah yang lebih besar dan saluran yang lebih menonjol, serta gril persegi yang lebih menyerlah.

Bampar hadapan juga diberikan sentuhan yang lebih segar, begitu juga dengan bampar belakang tetapi kemasan ekzos juga disingkirkan. Walau bagaimana pun bampar belakang masih kekal bergaya jika dibandingkan dengan Inscription.

Volvo XC60 2021 terima peningkatan gaya, kit baharu

Untuk Polestar Engineered pula lebih menyerlah dan bergaya bagi barisan XC60, ia turut diberikan penjana kuasa PHEV yang paling berkuasa dengan sentuhan yang lebih unik termasuk damper boleh laras Öhlins dan brek Akebono. Penggayaan luaran lebih sama dengan R-Design, tetapi ditambah dengan roda aloi forged dan lencana khas, serta serlahan keemasan untuk kabin.

Di dalamnya, XC60 tidak banyak perubahannya, ditampilkan dengan kemasan dan upholstery, bergantung pada pemilihan pakej penggayaan. Semakan yang dilakukan ialah upholstery campuran wool yang menurut Volvo, “ia adalah bebas-kuliy, dan lebih kepada penggunaan material semulajadi.”

Selain itu, perubahan lain termasuklah sistem infotainmen dengan sambungan Android Automotive OS – tapi jangan keliru dengan Android Auto – ia memberikan pengguna akses secara terus untuk beberapa servis Google seperti Google Maps, Google Assistant dan Google Play Store. Sistem ini pertama kali ditampilkan pada XC40 elektrik sepenuhnya dan juga boleh menyokong kemas kini over-the-air.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Izwaashura Sadali

Ledakan adrenalin dan impak maksima. Antara barisan ayat yang paling digemari apabila menggambarkan prestasi sesebuah jentera. Sebelum terlibat di dalam industri auto pada tahun 2011, dia sekadar gemar melihat sport rim tetapi kini lebih suka menerokai kehebatan sesebuah jentera itu.

 

Comments

 

Add a comment

required

required