Perodua Ativa – banding spesifikasi antara tiga varian

Siapa saja yang tidak tahu, Perodua telah melancarkan sebuah SUV baru, dipanggil sebagai Ativa dua hari lepas dan ia seakan menetapkan standard baru bagi pengeluar kenderaan tempatan tersebut, daripada aspek teknologi dan juga keselamatan.

Pilihan untuk pelanggan telah dijadikan lebih mudah. Hanya ada tiga varian dan kesemuanya menggunakan padanan enjin serta kotak gear yang sama. Walaupun begitu, anda masih perlu tahu apa yang akan diterima apabila membeli model yang berbeza harga ini, dan sebab itulah kami menyiarkan perbandingan spesifikasi.

Kita lihat kepada harga terlebih dahulu. Ia bermula pada RM61,500 untuk varian asas X, diikuti RM66,100 untuk varian H dan RM71,200 untuk varian paling tinggi, AV. Ini adalah harga atas jalan tidak termasuk insurans dan SST, dan diberikan dengan jaminan lima tahun atau 150,000 km.

Seperti kebiasaan bagi sebuah SUV yang harganya cuma lebih sedikit daripada RM60,000, varian X nampak ringkas dengan rim yang kecil, tiada lampu kabus, bahagian dalam serba hitam, roda stereng tanpa sebarang butang kawalan, tempat duduk fabrik dan head unit yang biasa. Walaupun begitu, anda masih akan dapat benda yang lebih penting seperti lampu depan dan belakang LED, sistem masuk tanpa kunci, sambungan Bluetooth serta panel kawalan pendingin hawa digital dengan butang memori.

Malah lebih bagus lagi, Perodua tidak mengabaikan aspek keselamatan. Varian asas juga diberikan dengan enam beg udara, kawalan stabiliti serta sistem Advanced Safety Assist (ASA) versi paling baru. Ia termasuk dengan brek kecemasan autonomous (kini dengan pengesan penunggang basikal dan boleh beroperasi sehingga kelajuan 120 km/j), Lane Keep Assist, Lane Departure Warning serta Automatic High Beam.

Varian H mendapat lebih lagi teknologi. Selain rim 17 inci, ia juga didatangkan dengan lampu utama LED matriks, yang dapat mematikan sebahagian daripada lampu tingginya bagi mengelakkan silau kepada pengguna jalan yang lain. Pada bahagian dalam, perbezaan paling besar adalah sistem infotainmen yang menggunakan skrin sesentuh sembilan inci serta panel instrumen digital tujuh inci, yang didatangkan dengan beberapa tema serta peringatan hari lahir dan ulang tahun.

Tetapi, jika anda betul-batul mahukan teknologi canggih, anda perlu mendapatkan varian AV. Ia didatangkan dengan kemampuan pemanduan semi-autonomous Level 2, dengan ciri tambahan Adaptive Cruise Control serta Lane Centring Assist. Anda juga akan mendapat pemerhati titik buta serta amaran trafik dari belakang dalam pakej ini. Secara visualnya, varian AV boleh dikenali dengan balutan tempat duduk gabungan kulit serta suede tiruan, dan banyak kemasan warna merah.

Tidak kiralah varian mana yang anda pilih, enjinnya masih lagi sama – unit tiga silinder 1.0 liter turbo 1KR-VET yang mampu menghasilkan kuasa 98 PS pada 6,000 rpm dan 140 Nm tork pada antara 2,400 hingga 4,000 rpm. Semua kuasa ini dihantar kepada roda depan melalui transmisi D-CVT yang mempunyai gear tujuh gear virtual (pertama kali digunakan oleh Perodua).

    Perodua Ativa 1.0T X 2021

    Kelengkapan standard:

    Mekanikal

  • Enjin 1.0 liter 1KR-VET VVT-i DOHC
  • 996 cc turbocas tiga-silinder petrol
  • 98 PS pada 6,000 rpm, 140 Nm tork dari 2,400 hingga 4,000 rpm
  • D-CVT dengan tujuh nisbah maya
  • Pacuan roda depan
  • Enjin Start/Stop automatik
  • Penggunaan minyak 18.9 km per liter
  • Cakera brek berliang (depan), dram (belakang)
  • Suspensi MacPherson strut (depan), torsion beam (belakang)
  • Luaran

  • Lampu utama reflektor dengan lampu tinggi automatik
  • Palang perak atas gril, palang bawah krom
  • Rim 16-inci perak dengan tayar Goodyear Assurance Triplemax 2 205/65
  • Cermin sisi hitam larasan elektrik dengan lipatan manual
  • Pemegang pintu warna badan
  • Tiang-A dan B hitam
  • Lampu belakang LED
  • Antena sirip jerung
  • Kemasan pintu kargo perak
  • Pilihan warna Glittering Silver, Granite Grey dan Cobalt Blue
  • Dalaman

  • Sistem tanpa kunci
  • Butang Push Start
  • Stereng Urethane dengan butang Power
  • Corong pendingin hawa tengah kemasan perak
  • Pemegang pintu hitam
  • Kawalan pendingin hawa digital dengan butang memori
  • Butang kunci sentral di tengah
  • Kerusi balutan fabrik
  • Kluster instrumen analog dengan paparan multi-info
  • Radio dengan sambungan Bluetooth
  • Empat pembesar suara
  • Dua slot USB
  • Penyandar belakang lipatan 60:40 dan boleh direbahkan
  • Lantai but dua tahap (303 liter hingga 369 liter)
  • Tayar ganti saiz penuh
  • Keselamatan

  • Enam beg udara
  • ABS dengan EBD dan Brake Assist
  • Kawalan kestabilan
  • Brek kecemasan autonomous dengan pengesanan pejalan kaki dan pengayuh (kini hingga 120 km/j)
  • Lane Departure Warning and Protection
  • Pedal Misoperation Control (PMC)
  • Front Departure Alert (FDA)
  • Pengingat tali keledar depan dan belakang
  • Isofix di belakang
  • Sensor parkir
  • Perodua Ativa 1.0T H 2021


    Tambahan:

    Luaran

  • Lampu utama LED dengan signal sequential, lampu selekoh dan Adaptive Driving Beam (ADB)
  • Lampu kabus depan LED
  • Gril dengan dua palang krom
  • Skid plate perak di depan dan belakang
  • Rim aloi 17-inci dua tona dengan tayar Bridgestone Turanza T005A 205/60
  • Cermin sisi lipatan automatik elektrik
  • Kemasan pintu kargo krom
  • Pilihan warna Pearl Diamond White dan Pearl Delima Red
  • Dalaman

  • Stereng balutan kulit
  • Kawalan audio pada stereng
  • Kemasan sudut corong pendingin sudut
  • Kemasan perak konsol tengah
  • Pemegang pintu warna perak
  • Perehat lengan tengah
  • Paparan kluster instrumen tujuh-inci
  • Skrin sentuh infotainmen sembilan-inci dengan SmartLink
  • Satu port HDMI
  • Dua slot USB
  • Keselamatan

  • Sensor parkir depan
  • Kamera undur
  • Perodua Ativa 1.0T AV 2021

    Tambahan:

    Luaran

  • Pemegang pintu krom
  • Bumbung hitam untuk Pearl Diamond White dan Pearl Delima Red
  • Dalaman

  • Corong pendingin sudut kemasan merah
  • Pemegang pintu krom
  • Tuil gear krom
  • Butang brek tangan krom
  • Ruang storan konsol tengah
  • Kerusi balutan kulit buatan dengan suede
  • Enam pembesar suara
  • Perakam video digital
  • Filem keselamatan Llumar
  • Keselamatan

  • Kawalan melayar adaptif
  • Bantuan mengikut lorong
  • Peninjau titik buta
  • Amaran lintasan trafik di belakang

Perodua Ativa 1.0L Turbo AV 2021

Perodua Ativa 1.0L Turbo H 2021

Perodua Ativa 1.0L Turbo X 2021

Perodua Ativa 2021 dengan kit Gear Up

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Durrani Sharom

Mempunyai latar belakang yang pelbagai termasuk sebagai pengurus tapak, pemandu van/lori dan pelbagai lagi, Durrani akhirnya masuk ke dalam bidang penulisan automotif lapan tahun lalu. Apa sahaja yang beroda dan berenjin membuatkan beliau teruja dan beliau percaya ‘mesin pengangkutan' ini sepatutnya adalah sesuatu yang mampu memberikan pengalaman menyeronokkan kepada penggunanya.

 
 

Add a comment

required

required