Perodua Ativa – kos penyelenggaraan sehingga 100,000 km berbanding Myvi, Aruz dan Proton X50

Perodua Ativa – kos penyelenggaraan sehingga 100,000 km berbanding Myvi, Aruz dan Proton X50

Anda dah tahu hampir semua berkenaan Perodua Ativa yang telah dilancarkan minggu ini serta segala perinciannya yang lain. Dan kami juga telah sempat memandu uji secara ringkas SUV segmen-B berkenaan dan anda boleh baca laporan berkenaan pada PAUTAN INI.

Ok, sekarang pasti ramai yang tertanya-tanya, dengan teknologi yang kebanyakkanya adalah pertama kali dipadankan pada sebuah Perodua seperti enjin 1.0 liter turbo dan juga kotak gear D-CVT, adakah kos penyelenggaraan Ativa ini lebih mahal dari model-model Perodua yang lain?

Jadi pada artikel kali ini, kami paparkan kos servis berkala untuk Ativa dan kami bandingkan dua lagi model Perodua yang berada dalam julat harga hampir sama iaitu hatchback Perodua Myvi dan juga MPV SUV tujuh-tempat duduk Perodua Aruz.

Dan disebabkan harga varian tertinggi Ativa AV yang hanya sedikit murah berbanding varian paling rendah Proton X50 Standard, kami bandingkan juga kos selenggara SUV segmen B dari Proton berkenaan – walaupun kedua-dua model ini berlainan segmen, kami pasti mesti ada pembaca yang kini berada di persimpangan dilema untuk memilih antara dua model berkenaan kerana faktor harga yang tak jauh beza (diingatkan sekali lagi, Ativa dan X50 masing-masing dari segmen jauh berbeza).

Dalam perbandingan kali ini, kami akan paparkan kepada anda kos servis berkala untuk semua model yang kami nyatakan di atas, untuk jarak 100,000 km atau lima tahun pertama (yang mana sampai dulu). Juga, sebelum bermula, ada berberapa perkara yang perlu kami perjelaskan terlebih dahulu tentang perbandingan yang kami buat ini.

Pertama, Perodua Ativa bukanlah saingan terus untuk kesemua model yang kami senaraikan ini. Umum mengetahui, kegunaan untuk SUV kompak, hatchback kompak, MPV tujuh-tempat duduk adalah sangat berbeza, dan sudah tentu profil pelanggan untuk setiap model berkenaan juga sangat berbeza.

Perbandingan yang kami buat ini adalah untuk menunjukkan adakah teknologi-teknologi baharu yang diterapkan pada Ativa mempengaruhi kos penjagaannya, dan bagaimana beza kos selenggara antara enjin turbo dan kotak gear D-CVT Perodua berbanding enjin turbo bersama kotak gear klac berkembar Proton. Tapi tak mustahil juga dari segi harga, ada orang bujang yang tak perlukan ruang besar tetapi berkira-kira nak beli Aruz kerana rupanya yang rugged bukan?

Yang kedua, segala informasi yang kami paparkan ini adalah diambil terus dari laman sesawang rasmi Perodua dan Proton, dan ianya adalah tepat ketika artikel ini ditulis. Jelas? Mari kita mula sekarang.

Perodua Ativa – kos penyelenggaraan sehingga 100,000 km berbanding Myvi, Aruz dan Proton X50

Untuk harga jualan, Perodua Ativa dijual pada harga antara RM61,500-RM72,000, manakala Proton X50 varian paling rendah Standard bermula RM79,200 (model paling tinggi Flagship dijual pada harga jauh lebih mahal, RM103,300). Bagi dua lagi model Perodua yang disenaraikan, Myvi dijual pada harga paling mahal RM52,697, manakala Aruz pula berharga antara RM68,526 hingga RM73,226.

Boleh anda lihat pada jadual yang kami sediakan di atas, walaupun Ativa menggunakan enjin dan transmisi yang lebih canggih, kos selenggara untuk SUV ini sebenarnya tidak jauh beza berbanding Myvi dan Aruz. Dalam tempoh 100,000 km/lima-tahun, kos untuk servis berkala Perodua Ativa, Myvi dan Aruz adalah sekitar RM3.1k hingga RM3.2k.

Walau bagaimanapun, Perodua turut mengesyorkan pengguna Myvi dan Aruz untuk memilih berberapa servis Pro Care, yang didakwa akan memberikan perlindungan pada kondisi optimum untuk kereta anda. Bagi Myvi, kos tambahan untuk opsyen Pro Care ini adalah berjumlah RM882 untuk tempoh lima-tahun, manakala Aruz pula memerlukan bayaran tambahan RM738 untuk opsyen dan tempoh yang sama.

Dengan enjin kapasiti lebih kecil, Ativa bukan sahaja untung dari segi bayaran cukai jalan, malah ada sedikit kelebihan dari segi servis. Ini kerana enjin 1KR-VET 1.0 liter turbo berkenaan hanya memerlukan minyak enjin 3.5 liter untuk setiap penukaran, berbanding 4 liter pada enjin 2NR-VE 1.5 liter NA dalam perut Myvi dan Aruz.

Perodua Ativa – kos penyelenggaraan sehingga 100,000 km berbanding Myvi, Aruz dan Proton X50

Kos servis berkala Perodua Ativa, klik untuk besarkan

Oleh kerana enjin Ativa ini hanya menampilkan tiga-silinder berbanding empat silinder pada Myvi dan Aruz, jumlah palam pencucuh (spark plug) pada enjin 1.0 liter berkenaan juga kurang satu unit berbanding enjin NA 1.5 liter Perodua tersebut.

Namun ini bukan bermaksud kos penukaran palam pencucuh Ativa lebih murah dari Myvi dan Aruz – ia dijual pada harga lebih sekali ganda mahal kerana sistem multi-spark (pencucuhan berlaku dua kali setiap lejang) pada enjin turbo tersebut memerlukan palam pencucuh lebih bergred tinggi digunakan.

Apa yang menarik, kos penjagaan kotak gear D-CVT pada Ativa adalah lebih murah daripada kotak gear automatik konvensional 4AT pada Myvi dan Aruz. Ini adalah kerana sela masa penukaran minyak CVT pada transmisi Ativa hanya perlu dilakukan setiap 100,000 km/60 bulan berbanding 40,000 km/24 bulan untuk Myvi dan Aruz.

Penapis udara untuk enjin pada Ativa juga lebih murah, namun untuk penapis udara kabin perlu ditukar lebih kerap iaitu setiap 20,000 km/12 bulan, berbanding setiap 30,000 km/18 bulan pada Myvi dan Aruz.

Kos servis berkala Perodua Myvi (kiri) dan Perodua Aruz (kanan), klik untuk besarkan

Berbanding Ativa dan Myvi yang memacu roda hadapan, Aruz adalah model pacuan belakang yang memerlukan minyak pada gandar belakang ditukar secara berkala. Namun kos berkenaan tidaklah besar – ia perlu ditukar setiap 40,000 km/2 tahun, dengan kos minyak dan gasket berjumlah RM55.40 untuk setiap sesi.

Dan seperti semua model Perodua dalam pasaran sekarang, bukaan injap pada kepala silinder enjin Ativa, Myvi dan Aruz digerakkan dengan sistem timing chain, dan pemilik tidak perlu gusar tentang penjagaannya kerana ia tidak perlu ditukar secara berkala seperti sistem timing belt.

Manakala untuk X50, model lebih besar, lebih berkuasa dari Proton ini nampaknya hadir dengan kos selenggara yang juga jauh lebih mahal. Pertama sekali kerana enjin 1.5 liter tiga silinder pada X50 memerlukan minyak enjin 5 liter untuk setiap penukaran (semua model yang dibandingkan kali ini menggunakan minyak enjin sintetik penuh dengan kelikatan rendah 0W-20).

Begitu juga dengan minyak transmisi klac berkembar (DCT) yang lebih mahal diperlukan dan perlu ditukar setiap 90,000 km/54 bulan. Selain itu, Proton X50 turut memerlukan penukaran penapis udara enjin yang lebih kerap, serta penggunaan penapis udara kabin dengan gred N95 yang lebih mahal.

Perodua Ativa – kos penyelenggaraan sehingga 100,000 km berbanding Myvi, Aruz dan Proton X50

Kos servis berkala Proton X50, klik untuk besarkan

Perodua tidak menyenaraikan penapis pam bahan api dalam jadual selenggara semua modelnya, manakala Proton pula menetapkan bahawa komponen tersebut pada X50 perlu ditukar setiap 20,000 km/12 bulan – ini antara penyebab mengapa kos servis berkala Proton X50 dilihat lebih mahal. Walau bagaimanapun, Proton ada menawarkan upah percuma untuk tiga servis pertama X50, lebih dari apa yang Perodua tawarkan.

Berbanding Ativa, Proton X50 masih lagi menggunakan sistem timing belt – komponen ini tidak termasuk dalam jadual 100,000 km pertama, namun ia perlu diperiksa pada 100,000 km, manakala penukarannya pula perlu dibuat pada 110,000 km atau 66 bulan.

Berapa kos untuk penukaran timing belt berkenaan? Set komponen untuk timing belt ini adalah RM195.16, dan dalam servis yang sama anda turut perlu untuk menukar tali sawat yang memusingkan alternator sekali berharga RM112.89. Kos upah untuk kedua-dua kerja ini disekalikan dengan harga RM150. Jika anda buat penukaran ini sekali dengan servis pada 110,000 km tersebut, kos keseluruhan untuk pakej adalah RM825.27.

Seperti biasa, kos untuk memiliki sesebuah kereta bukan hanya bergantung pada bayaran bulanan dan servis berkala sahaja, kos seperti cukai jalan dan insuran tahunan juga perlu diambil kira. Ativa dengan enjin paling kecil 1.0 liter hanya dikenakan cukai jalan sebanyak RM20 setahun, manakala Myvi dengan enjin 1.5 liter dikenakan cukai jalan sebanyak RM90. Proton X50 dan Perodua Aruz yang kedua-duanya SUV dengan enjin 1.5 liter perlu membayar cukai jalan berjumlah RM120 setahun.

Bagi penggunaan bahan api, perkara ini mungkin subjektif kerana ia berbeza mengikut penggunaan dan gaya pemanduan setiap individu. Namun kalau dibandingkan mengikut apa yang didakwa setiap pengeluar, Ativa mampu mencapai kadar 18.9 km/l, Aruz 15.6 km/l, Myvi 20.1 km/l, manakala Proton X50 pula adalah antara 15.4-15.6 km/l – angka ini sukar untuk disamakan dengan situasi pemanduan sebenar, tapi bolehlah digunakan sebagai kayu ukur paling asas.

Selain dari komponen-komponen servis yang perlu ditukar secara berkala dan perkara-perkara lain yang telah disebutkan di atas, anda turut perlu memikirkan hal lain seperti tayar dan brek – lebih besar saiz roda, sudah tentu harga untuk tayar dan juga pad brek akan menjadi lebih mahal.

Untuk Ativa, bergantung pada varian, ia dibekalkan dengan rim berdiamter 16- hingga 17-inci. Myvi pula hanya menerima rim dengan saiz paling besar sehingga 15-inci, manakala untuk Aruz semua varian menerima rim berdiamter 17-inci. Untuk X50, model paling asas Standard pun telah dilengkapkan dengan rim-17, dan meningkat kepada 18-inci untuk dua varian paling tinggi.

Kesimpulan yang boleh kita buat, walaupun Ativa menampilkan teknologi lebih canggih, kos servisnya adalah lebih kurang sama dengan model Perodua yang lain. Jadi jika anda ingin menaiktaraf dari Myvi ke Ativa, kos selenggara selain tayar dan brek, lain-lain adalah lebih kurang saja. Namun jika dibandingkan dengan Proton X50, kosnya adalah jauh lebih mahal, kerana hadir dengan teknologi mekanikal yang juga lebih canggih.

Sekarang macam mana? Ada jelas sikit situasi perbandingan antara empat model ini?

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 

Comments

  • Megat on Mar 05, 2021 at 8:03 pm

    proton suruh tukar timing belt masa 90,000km..jadinya perbandingan ini tidak tepat.110,000km proton kata tu maksimum boleh pegi.dan takda pon pemeriksaan masa 100,000..masa servis 80,000 dtg pagi2 tak cek keta pon lg dh bgtau siap2 next 90k tukar timing belt.

    Like or Dislike: Thumb up 1 Thumb down 0
 

Add a comment

required

required