Proton mula bersedia ke arah elektrifikasi – Azlan

Proton mula bersedia ke arah elektrifikasi – Azlan

Model konsep hibrid penambah jarak (range extender) Proton Emas yang muncul di Geneva Motor Show 2010

Jika sebelum ini pengeluar-pengeluar automotif mula mengecilkan kapasiti enjin masing-masing dan menggunakan pengecas turbo bagi memastikan ia melepasi ujian emisi, kini trend berkenaan mula beralih kepada penggunaan teknologi elektrifikasi kerana ujian tersebut mengenakan syarat kelulusan yang rata-ratanya semakin ketat di seluruh dunia.

Walaupun perkara ini masih belum terasa di negara kita, namun pengeluar automotif tempatan, Proton tidak boleh terlalu selesa – jika mereka tidak bersedia dari awal, mungkin terlalu lewat untuk mereka bermula apabila peralihan tersebut berlaku kelak.

Ketika sesi temuramah bersama ketua pereka Proton, Azlan Othman minggu lalu, beliau mendedahkan bahawa jabatannya iaitu Proton Design sememangnya sudah bersedia berkenaan perkara ini.

Ketika ditanya adakah Proton sudah mula melihat kepada elektrifikasi sebagai sebahagian strategi perniagaan, jawab Azlan, “Kami perlu – semua orang sedang melihat perkara ini, kami tak boleh tertinggal. Tetapi untuk mengatakan ianya fokus utama, sudah tentu tidak buat masa sekarang.”

Proton mula bersedia ke arah elektrifikasi – Azlan

Ketua pereka Proton, Azlan Othman

Rekaan untuk kereta dengan teknologi elektrifikasi ini sudah tentu menampilkan banyak perbezaan kerana kebiasaannya ia mementingkan pekali geseran yang lebih rendah bagi memastikan ia dapat menggunakan tenaga yang lebih efisien. Malah pada model elektrik sepenuhnya, ia tidak memerlukan aliran udara kepada sistem penyejukkan enjin, jadi rekaan muka perlu dimanfaatkan untuk lebih aspek aerodinamik.

“Ia mewakili banyak cabaran untuk kami kerana pelbagai kekangan. Contoh terbaik adalah pada muka hadapan. Ramai yang cakap anda boleh tutup segalanya kerana anda sudah tidak perlu lagi radiator atau penyejuk enjin. Tapi apa akan jadi dengan muka kenderaan berkenaan? Semua yang anda buat untuk menghasilkan DNA, bagaimana untuk perkara tersebut?” kata Azlan.

Menurutnya lagi, Proton kini sedang belajar dari rakan kongsinya iaitu Geely. Jenama automotif China tersebut kini mempunyai barisan model dengan teknologi elektrifikasi yang komprehensif seperti hibrid, plug-in hybrid (PHEV), dan elektrik sepenuhnya yang dijual dalam pasaran.

“Dalam banyak hala tuju, untuk kami, ia adalah perkara yang agak asing. Saya pasti Guy [Burgoyne, naib presiden Geely Design Shanghai yang turut serta dalam temu ramah ini] mempunyai lebih banyak pengalaman berbanding Proton Design dalam perkara ini, dan di situlah di mana kami belajar dari mereka sekarang,” jelas Azlan.

Proton mula bersedia ke arah elektrifikasi – Azlan

Kembar Proton X50, Geely Binyue PHEV untuk pasaran China

Sebelum kerjasama dengan Geely lagi Proton sebenarnya sudahpun memulakan pelbagai eksperimen terhadap model dengan teknologi elektrifikasi. Azlan memberikan contoh model konsep Proton Emas yang telah dipamerkan di Geneva Motor Show 2010.

Kereta tersebut merupakan hatchback kompak yang digerakkan oleh motor elektrik, dengan bateri yang menerima janaan kuasa elektrik dari enjin penambah jarak. Rekaan Proton Emas berkenaan dihasilkan dengan kerjasama firma rekaan Itali iaitu Italdesign Giugiaro. Walaupun ia tidak dihasilkan sebagai model produksi, kebanyakkan elemen penggayaannya telah dijelmakan pada model produksi Proton Iriz.

“[Kereta tersebut] banyak mengajar kami dalam aspek mengendalikan pakej dan rekaan,” kata Azlan. “Tetapi dah banyak yang berubah dalam masa 11 tahun, jadi kami perlu belajar pembangunan terbaharu berkenaan elektrifikasi dan hibridisasi dan kami akan lihat di mana kami boleh gunakan dalam rekaan baharu kami. Itu merupakan cabaran yang terbesar.”

Walau bagaimanapun, masih lagi belum jelas teknologi elektrifikasi bagaimana yang akan Proton gunakan. Untuk pembangunan teknologi, Proton dijangka tidak mempunyai masalah kepada akses teknologi-teknologi yang telah sedia ada dibangunkan oleh Geely.

Proton mula bersedia ke arah elektrifikasi – Azlan

Sebelum ini Proton telah disahkan diberi lampu hijau untuk menghasilkan model baharu berdasarkan platform B-segment Modular Architecture (BMA) dari Geely. Platform tersebut bukan sahaja dihasilkan untuk dipadankan bersama enjin 1.5 liter turbo dan kotak gear klac berkembar automatik 7DCT, malah memang sudah bersedia untuk dipadankan sekali dengan sistem elektrifikasi termasuk sistem hibrid ringkas 48V, PHEV dan juga hibrid konvesional.

Buat masa sekarang, kembar X50 iaitu Geely Binyue adalah antara model yang menggunakan platform BMA ini, dan di China Binyue turut telah dipasarkan dalam varian PHEV.

Malah bukan teknologi ini sahaja yang sudah dibangunkan oleh Geely. Ia juga telah mewujudkan satu jenama bebas yang digelar Geometry, yang hanya menghasilkan model-model dijana kuasa elektrik sepenuhnya.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required