Sebelum ini pada tahun 2019, Mercedes-Benz Malaysia pernah memperkenalkan pakej sambungan jaminan bateri hibrid, dan kali ini mereka memperkenalkan satu lagi pakej hampir sama, tetapi untuk kenderaan plug-in hybrid.
Pakej baru ini, yang dipanggil sebagai Plug-in Hybrid Battery Extended Warranty Programme ditawarkan kepada sesiapa yang membeli C 350 e, E 350 e dan S 560 e, di mana jaminan standard enam tahun atau 100,000 km yang diberi boleh dipanjangkan kepada lapan tahun atau 160,000 km (yang mana tiba dahulu).
Sama seperti pakej sebelum ini, terdapat kos yang perlu dibayar untuk pemanjangan tempoh jaminan bateri ini, iaitu RM2,688, dan pembeli akan mendapat tambahan jaminan dua tahun atau 60,000 km sebagai tambahan kepada jaminan sedia ada. Ini sekaligus dapat memberikan perlindungan untuk kos baik pulih atau gantian sekiranya bateri PHEV perlu ditukar dalam tempoh tersebut.
Menurut MBM, untuk layak mendapatkan pakej tambahan jaminan ini, kenderaan PHEV tersebut perlulah masih berada dalam tempoh jaminan selama empat tahun yang diberikan secara standard, dan mempunyai rekod servis penuh di wakil sah Mercedes-Benz.
Walaupun tidak tertulis, kereta yang mendapatkan pakej tambahan jaminan ini dijangka akan terus diservis dan diselenggara di wakil pengedar atau pusat servis berdaftar Mercedes-Benz dengan mengikut spesifikasi pengeluar sepanjang tempoh jaminan.