Selalunya permainan-permainan video yang bercorak simulator menampilkan kereta-kereta spesifikasi sebenar, oleh itu ini mungkin maklumat sahih yang terbocor berkenaan kereta sport Nissan Z generasi baharu – dalam permainan video Project Cars 3 menunjukkan bahawa model tersebut menerima kuasa 450 PS, dengan berat badan hanya 1,475 kg!
Walau bagaimanapun, permainan yang dilancarkan pada Ogos tahun lalu berkenaan masih menampilkan model generasi baharu tersebut dalam bentuk prototaip, iaitu Nissan Z Proto dan bukan sebagai model produksi 400Z – nama yang disebut-sebut dalam banyak khabar sebelum ini.
Nissan Z Proto ini telah pun didedahkan pada September tahun lalu. Walaupun ia masih dalam fasa prototaip, Presiden Nissan Makoto Uchida mengesahkan bahawa ini bukan kereta konsep dan bentuknya adalah sangat hampir pada bentuk produksi – menampilkan rupa retro diinspirasikan dari kereta sport Z pertama Nissan, S30Z Fairlady 240Z.
Tiada sebarang perincian yang solid diumumkan ketika itu berkenaan sistem mekanikalnya, namun Nissan mengesahkan bahawa model generasi baharu ini akan dijana oleh enjin V6 dengan bantuan dua pengecas turbo, bersama padanan pilihan kotak gear enam-kelajuan manual, memacu roda belakang.
Ada khabar yang bertiup, kereta sport ini sebenarnya akan dijana oleh enjin VR30DDTT 3.0 liter V6 turbo berkembar tanpa sebarang bantuan elektrifikasi dan angka kuasa awal yang berlegar adalah 400 PS/500 Nm. Kotak gear automatik tujuh-kelajuan bersama Adaptive Shift Control dan juga pilihan pacuan semua roda juga dikhabarkan akan ditawarkan sebagai opsyen.
Sebelum ini juga Nissan telah mengesahkan bahawa model ini akan mula dijual dalam pasaran bermula 2022, oleh itu kemungkinan versi produksinya akan didedahkan sepenuhnya pada lewat tahun ini.
GALERI: Nissan Z Proto