Barisan MINI Hatch dan Convertible telah pun menerima peningkatan baru-baru ini, menampilkan rekaan,kelengkapan, kombinasi warna dan hiasan dalaman yang lebih segar. Paling menarik, ia ditawarkan dengan warna yang cukup sedap mata memandang iaitu Zesty Yellow, tetapi hanya eksklusif untuk versi soft-top sahaja.

Convertible baharu ini diberikan imej hadapan yang lebih segar termasuk menampilkan lampu utama LED dengan kemasan gelap di dalamnya, rekaan gril haksagon yang dipertingkatkan dengan seksyen tengah yang sama dengan warna badan, corong udara menegak pada sudut bampar bagi menggantikan lampu kabus lama, serta gerbang roda yang diprofilkan semula.

Sama seperti sebelum ini, soft-top hanya pacuan elektrik sepenuhnya, dan ia boleh dibuka dan ditutup dalam masa 18 saat, dan pada kelajuan hingga 30 km/j. Ia juga diberikan fungsi bumbung suria yang boleh dibuka pada keluasan sehingga 40 cm, pada apa jua kelajuan.

Sebagai alternatif pada bumbung hitam, MINI Yours soft-top juga diberikan. Ia ditampilkan dengan jaring berpaten ala Union Jack dengan warna kelabu titanium, bersama grafik anak panah dinamik yang pertama kali dilihat pada Convertible Sidewalk Edition. Ia juga diberikan rekaan roda baharu dengan pilihan saiz 17- dan 18-inci.

Tiga pilihan penjana kuasa diberikan untuk Convertible termasuk unit B38 1.5 liter pengecas turbo tiga-silinder yang mampu menghasilkan kuasa 102 PS pada One dan 136 PS pada Cooper. Manakala unit penjana kuasa yang lebih besar iaitu 2.0 liter turbo empat-silinder dengan 178 PS pada Cooper S dan 231 PS pada John Cooper Works (gambar di sini). Dengan manual enam-kelajuan, model JCW boleh dipecut dari 0-100 km/j dalam 6.6 saat sementara pilihan automatik Steptronic lapan-kelajuan pula 6.5 saat.

Menurut MINI, pasaran paling penting untuk Convertible ialah Jerman, diikuti dengan Amerika Syarikat dan Britain. Jualan di pasaran berkenaan mengatasi Perancis, Sepanyol dan Portugal. Pada tahun 2020, satu daripada lima MINI yang terjual di Jerman ialah Convertible.