Seringkali kita dengar, orang-orang kenamaan khususnya mereka yang terlibat dengan politik akan memilih kereta-kereta mewah, atau mungkin dari model paling premium ditawarkan oleh Proton seperti Perdana atau X70 sebagai kenderaan yang digunakan bagi urusan-urusan rasmi harian mereka. Tapi yang ini jarang kita tengok – timbalan menteri kewangan II, YB Mohd Shahar Abdullah telah memilih Perodua Ativa bagi tujuan berkenaan!
Gambar ini dikongsikan oleh pemilik akaun Facebook Muhammad Faiz Hashim, menunjukkan Ativa berkenaan mengenakan jata negara bersama plak ‘Timbalan Menteri’ pada bahagian hadapan, sama seperti kenderaan-kenderaan rasmi untuk menteri-menteri kerajaan Malaysia yang lain.
YB Mohd Shahar memilih Perodua Ativa dengan warna Pearl Diamond White bersama pilihan bumbung berwarna hitam, dalam varian tertinggi AV. Ativa ini baru sahaja dilancarkan oleh Perodua awal bulan ini, dan harga asas untuk model AV adalah RM71,200, manakala opsyen warna pearl dan dua-tona seperti yang dipilih menteri berkenaan memerlukan bayaran tambahan sebanyak RM800.
Ativa merupakan model paling canggih pernah ditawarkan oleh Perodua setakat ini. Ia dihasilkan dari platform terkini dari Daihatsu iaitu Daihatsu New Global Architecture (DNGA) yang diasaskan dari platform terkini TNGA Toyota. Ia digerakkan dengan enjin 1KR-VET 1.0 liter tiga-silinder turbo berkuasa 98 PS/140 Nm, bersama kotak gear D-CVT automatik.
Ini bermakna Ativa merupakan model pertama Perodua yang menerima pengecas turbo dari kilang dan juga kotak gear CVT, malah transmisi D-CVT tersebut juga sebenarnya lebih canggih dari CVT biasa kerana menampilkan mekanisma planetary gear untuk gear akhir yang memberikan nisbah seakan kotak gear 8AT, serta penghantaran kuasa yang lebih baik serta senyap.
Selain itu, Ativa AV juga menerima perincian yang lazimnya hanya ada pada kereta lebih premium seperti lampu hadapan LED adaptif bersama lampu isyarat membelok jenis sequential, dan juga sistem bantuan pemanduan keselamatan ASA 3.0 dengan kebolehan pemanduan autonomous tahap 2 yang memberikan fungsi seperti brek kecemasan automatik, cruise control adaptif, pemantau titik buta dan pelbagai lagi.
Liputan menyeluruh kami berkaitan Perodua Ativa boleh dirujuk di sini:
- Perodua Ativa 2021 dilancarkan di Malaysia
- Perodua Ativa 2021 — Perbezaan dengan Daihatsu Rocky dan Toyota Raize
- Perodua Ativa 2021 — Pilihan aksesori Gear Up
- Perodua Ativa 2021 — Kenapa tiada AWD?
- Perodua Ativa 2021 — Penarafan 5-bintang ASEAN NCAP
- Perodua Ativa 2021 — Pandu uji ringkas pertama
- Perodua Ativa 2021 — D-CVT vs CVT biasa
- Perodua Ativa 2021 — Platform DNGA diperjelaskan
- Perodua Ativa 2021 — Perincian enjin 1KR-VET 1.0L turbo tiga-silinder
Perodua Ativa 1.0L Turbo AV 2021
Perodua Ativa 1.0L Turbo H 2021
Perodua Ativa 1.0L Turbo X 2021
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.