Perodua Ativa 2021 – beza dengan kembar, Daihatsu Rocky dan Toyota Raize yang dipasarkan di Jepun

Perodua Ativa 2021 – beza dengan kembar, Daihatsu Rocky dan Toyota Raize yang dipasarkan di Jepun

Perodua Ativa akhirnya sudah pun dilancarkan hari ini, tapi pastinya masih banyak persoalan berkenaan SUV kompak ini. Ramai yang sudah tahu ia menggunakan asas sama seperti Daihatsu Rocky dan Toyota Raize, tapi apa lagi bezanya? Di sini kami nyatakan.

Sudah tentu, penampilan tiga model ini adalah berbeza, tetapi ada juga beberapa perubahan yang menjadikannya nampak lain. Paling mudah untuk mengenali Ativa berbanding Rocky dan Raize adalah melalui muka depan. Gril berbentuk V pada Ativa adalah lebih besar berbanding gril enam bucu pada Rocky dan jalur nipis pada Raize, sementara lampu utama LED pula masih sama.

Seperti Rocky, gril Ativa juga menggunakan jalur melintang, tetapi bagi memastikan ia padan dengan cita rasa orang Malaysia, Perodua menggunakan dua jalur krom (varian X yang asas hanya ada satu jalur) dan logo Perodua di bahagian tengahnya. Bonjolan pada bucu bampar untuk bahagian perumah lampu kabus Ativa juga lebih menghampiri Rocky, tetapi dengan kemasan plastik hitam berbentuk L terbalik.

Konsep rekaan sama turut digunakan pada bahagian belakang, namun ia diganti dengan pemantul cahaya warna merah. Satu rekaan unik yang digunakan oleh Ativa, tetapi tiada pada Rocky dan Raize adalah kemasan seperti skid plate di bahagian tengah bampar hadapan dan belakang.

Pilihan rim 17 inci dua tona pada Ativa juga adalah lain – sementara Rocky dan Raize masing-masing menggunakan rekaan enam dan lima cabang yang lebih ringkas, Ativa pula mempunyai rekaan sepuluh cabang dengan lima daripadanya berwarna hitam. Rekaan rim ini nampak lebih kompleks.

Rekaan rim 16 inci pada varian asas Ativa X juga adalah berbeza, di mana ia menggunakan cabang berpecah yang lebih bergaya berbanding rekaan seperti turbin pada dua model lain. Hiasan pada bahagian tengah pintu but, yang menyambungkan lampu kiri dan kanan juga diubah daripada warna hitam pada dua model Jepun itu, kepada warna krom untuk Ativa.

Satu lagi fakta berkenaan set roda, Rocky dan Raize di Jepun tidak diberikan tayar gantian kerana ruang berkenaan digunakan sebagai ruang kargo tambahan. Manakala untuk Ativa, ia bukan sahaja diberikan tayar ganti bersaiz penuh, malah dibekalkan dengan rim yang sama seperti rim yang sedang digunakan di luar.

Cermin sisi Ativa diambil daripada Aruz, dan ia nampak lebih kemas berbanding unit yang kelihatan murah pada Rocky dan Raize. Ia disepadukan dengan lebih baik dengan pemegang di bawahnya dan mempunyai lampu penunjuk arah yang lebih panjang dan nipis. Pada bahagian segi tiga berhampiran tiang A pula terdapat jalur aerodinamik yang dikatakan dapat mengurangkan bunyi bising pada cermin tersebut.

Sistem masuk tanpa kunci diberikan pada semua varian Ativa. Walaubagaimanapun, pengesan sensitif sentuhan hanya disediakan pada pembuka pintu pemandu. Rocky dan Raize pula mempunyai pengesan ini pada pintu penumpang hadapan, menjadikannya lebih praktikal. Pintu but belakang masih boleh dibuka tanpa kunci.

Masuk ke dalam, keadaan untuk tiga model ini adalah sama. Semua mendapat rekaan papan pemuka yang ringkas, dengan corong pendingin hawa berbentuk heksagon, head unit seakan terapung serta roda stereng tiga cabang. Tetapi, masih ada perincian yang berbeza.

Perodua Ativa 2021 – beza dengan kembar, Daihatsu Rocky dan Toyota Raize yang dipasarkan di Jepun

Sebagai permulaan, tombol bulat untuk kawalan pendingin hawa Rocky dan Raize telah diubah kepada panel digital dengan permukaan rata. Tiada fungsi automatik untuk pendingin hawa ini, tetapi anda akan mendapat dua butang memori seperti Myvi baru. Ativa juga mendapat butang membuka dan mengunci pintu di bahagian konsol tengah, berhampiran brek tangan – satu ciri mesra penumpang yang tiada pada Rocky dan Ativa.

Spesifikasi kenderaan juga ada perubahan. Kekurangan utama pada Ativa adalah ia mendapat sistem infotainmen keluaran tempatan bagi varian H dan AV. Saiz skrin sesentuh masih sama dengan Rocky dan Raize, iaitu sembilan inci, tetapi paparannya nampak seperti sistem unit kedai aksesori dan Bahasa Inggeris yang digunakan sedikit pelik.

Ia juga hanya menggunakan fungsi mirroring Smart Link dan tidak mempunyai sambungan Apple CarPlay atau Android Auto. Walaupun begitu, panel paparan instrumen digital tujuh inci pada Ativa masih lagi sama dengan Rocky dan Raize, siap dengan peringatan hari jadi serta ulang tahun.

Varian AV Ativa juga mendapat kemasan balutan berbeza berbanding dua model Jepun itu. Rocky dan Raize menggunakan kombinasi kulit tiruan serta fabrik pada tempat duduk, sementara Ativa pula menggunakan balutan kulit lembu tiruan serta gabungan suede tiruan. Rekaannya juga lain, dengan lebih banyak warna merah serta label Perodua pada penyandar kepala. Varian X dan H datang dengan balutan fabrik serta jahitan warna perak.

Seperti yang dinyatakan di atas, bentuk roda stereng semua model ini masih sama, kecuali logonya, tetapi malah varian AV yang paling tinggi juga masih mempunyai bahagian kosong di sebelah kiri. Pada Rocky dan Raiza, bahagian ini diletakkan dengan butang sistem kamera 360 darjah serta bantuan letak kereta – dua ciri ini tiada pada Ativa. Satu lagi kelebihan Ativa, ia diberikan dengan tayar ganti saiz penuh – tiada pada Rocky dan Raize.

Perubahan yang menjimatkan kos ini mungkin adalah sebab Ativa dapat dijual lebih murah berbanding Rocky dan Raize di Jepun. Harganya bermula RM61,500 untuk varian X, RM66,100 untuk varian H dan RM71,200 untuk varian AV. Sementara itu, Rocky dijual pada harga antara 1.705 juta yen (RM64,600) hingga 2.145 juta yen (RM81,200), dan Ativa masih mempunyai kelengkapan yang lebih baik bagi setiap varian.

Perodua Ativa 2021 – beza dengan kembar, Daihatsu Rocky dan Toyota Raize yang dipasarkan di Jepun

Walaubagaimanapun bagi sistem keselamatan lain, Ativa masih dilengkapi secara standard dengan Autonomous Emergency Braking (kini dengan pengesan penunggang basikal serta laju operasi sehingga 120 km/j), Lane Keep Assist, Lane Departure Warning, Pedal Misoperation Control (PMC), Front Departure Alert serta Automatic High Beam.

Varian AV kemudiannya ditambah lagi dengan sistem pemanduan semi autonomous, yang termasuk Adaptive Cruise Control, Lane Centring Assist, Blind Spot Monitoring dan Rear Cross Traffic Alert. Varian paling tinggi ini juga mendapat lampu utama matriks LED dengan lampu penunjuk arah sequential.

Tiada perubahan bahagian mekanikal, dengan semua model digerakkan oleh enjin tiga silinder 1.0 liter 1KR-VET turbo yang mampu menghasilkan kuasa 98 PS pada 6,000 rpm dan 140 Nm tork pada 2,400 hingga 4,000 rpm. Hanya transmisi D-CVT disediakan untuk semua model ini, sementara Rocky dan Raize datang dengan pilihan pacuan empat roda (Ativa menggunakan pacuan dua roda hadapan).

Perincian penuh untuk Ativa ada dalam artikel kami di sini.

    Perodua Ativa 1.0T X 2021

    Kelengkapan standard:

    Mekanikal

  • Enjin 1.0 liter 1KR-VET VVT-i DOHC
  • 996 cc turbocas tiga-silinder petrol
  • 98 PS pada 6,000 rpm, 140 Nm tork dari 2,400 hingga 4,000 rpm
  • D-CVT dengan tujuh nisbah maya
  • Pacuan roda depan
  • Enjin Start/Stop automatik
  • Penggunaan minyak 18.9 km per liter
  • Cakera brek berliang (depan), dram (belakang)
  • Suspensi MacPherson strut (depan), torsion beam (belakang)
  • Luaran

  • Lampu utama reflektor dengan lampu tinggi automatik
  • Palang perak atas gril, palang bawah krom
  • Rim 16-inci perak dengan tayar Goodyear Assurance Triplemax 2 205/65
  • Cermin sisi hitam larasan elektrik dengan lipatan manual
  • Pemegang pintu warna badan
  • Tiang-A dan B hitam
  • Lampu belakang LED
  • Antena sirip jerung
  • Kemasan pintu kargo perak
  • Pilihan warna Glittering Silver, Granite Grey dan Cobalt Blue
  • Dalaman

  • Sistem tanpa kunci
  • Butang Push Start
  • Stereng Urethane dengan butang Power
  • Corong pendingin hawa tengah kemasan perak
  • Pemegang pintu hitam
  • Kawalan pendingin hawa digital dengan butang memori
  • Butang kunci sentral di tengah
  • Kerusi balutan fabrik
  • Kluster instrumen analog dengan paparan multi-info
  • Radio dengan sambungan Bluetooth
  • Empat pembesar suara
  • Dua slot USB
  • Penyandar belakang lipatan 60:40 dan boleh direbahkan
  • Lantai but dua tahap (303 liter hingga 369 liter)
  • Tayar ganti saiz penuh
  • Keselamatan

  • Enam beg udara
  • ABS dengan EBD dan Brake Assist
  • Kawalan kestabilan
  • Brek kecemasan autonomous dengan pengesanan pejalan kaki dan pengayuh (kini hingga 120 km/j)
  • Lane Departure Warning and Protection
  • Pedal Misoperation Control (PMC)
  • Front Departure Alert (FDA)
  • Pengingat tali keledar depan dan belakang
  • Isofix di belakang
  • Sensor parkir
  • Perodua Ativa 1.0T H 2021

    Tambahan:

    Luaran

  • Lampu utama LED dengan signal sequential, lampu selekoh dan Adaptive Driving Beam (ADB)
  • Lampu kabus depan LED
  • Gril dengan dua palang krom
  • Skid plate perak di depan dan belakang
  • Rim aloi 17-inci dua tona dengan tayar Bridgestone Turanza T005A 205/60
  • Cermin sisi lipatan automatik elektrik
  • Kemasan pintu kargo krom
  • Pilihan warna Pearl Diamond White dan Pearl Delima Red
  • Dalaman

  • Stereng balutan kulit
  • Kawalan audio pada stereng
  • Kemasan sudut corong pendingin sudut
  • Kemasan perak konsol tengah
  • Pemegang pintu warna perak
  • Perehat lengan tengah
  • Paparan kluster instrumen tujuh-inci
  • Skrin sentuh infotainmen sembilan-inci dengan SmartLink
  • Satu port HDMI
  • Dua slot USB
  • Keselamatan

  • Sensor parkir depan
  • Kamera undur
  • Perodua Ativa 1.0T AV 2021

    Tambahan:

    Luaran

  • Pemegang pintu krom
  • Bumbung hitam untuk Pearl Diamond White dan Pearl Delima Red
  • Dalaman

  • Corong pendingin sudut kemasan merah
  • Pemegang pintu krom
  • Tuil gear krom
  • Butang brek tangan krom
  • Ruang storan konsol tengah
  • Kerusi balutan kulit buatan dengan suede
  • Enam pembesar suara
  • Perakam video digital
  • Filem keselamatan Llumar
  • Keselamatan

  • Kawalan melayar adaptif
  • Bantuan mengikut lorong
  • Peninjau titik buta
  • Amaran lintasan trafik di belakang

Perodua Ativa 1.0L Turbo AV 2021

Perodua Ativa 1.0L Turbo H 2021

Perodua Ativa 1.0L Turbo X 2021

Perodua Ativa 2021 dengan kit Gear Up

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Durrani Sharom

Mempunyai latar belakang yang pelbagai termasuk sebagai pengurus tapak, pemandu van/lori dan pelbagai lagi, Durrani akhirnya masuk ke dalam bidang penulisan automotif lapan tahun lalu. Apa sahaja yang beroda dan berenjin membuatkan beliau teruja dan beliau percaya ‘mesin pengangkutan' ini sepatutnya adalah sesuatu yang mampu memberikan pengalaman menyeronokkan kepada penggunanya.

 
 

Add a comment

required

required