Biar pun dijangka harga minyak dunia akan meningkat dan terus menyebabkan kenaikan pada harga runcit petrol dan diesel, namun kerajaan akan terus menanggung subsidi pada kadar hampir 30 sen seliter selepas penetapan harga siling bagi petrol RON95 dan diesel masing-masing pada RM2.05 seliter dan RM2.15 seliter.

“Ini bermakna kerajaan menanggung jumlah subsidi bernilai RM3 bilion pada harga semasa. Kerajaan menetapkan harga siling berkenaan bagi melindungi pengguna daripada kesan kenaikan bahan bakar itu kerana berdasarkan trend semasa, harga minyak dunia dijangka meningkat”, ujar Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin seperti yang dilaporkan oleh Bernama.

Sebelum ini, Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata kerajaan akan menampung perbezaan harga pasaran sebenar dengan harga runcit yang ditetapkan secara mingguan melalui peruntukan subsidi.

Trend peningkatan harga minyak global ini dipengaruhi oleh pelan vaksinasi COVID-19 yang mula dilancarkan di seluruh dunia dengan Malaysia sudah melancarkan Program Imunisasi Kebangsaan pada 24 Februari lalu.