Melalui gambar yang sempat dirakam oleh pembaca paultan.org, Maurice Chew ini, nampaknya Nissan Navara 2021 facelift sudah berada di Malaysia. Trak pikap yang menjadi saingan kepada Toyota Hilux, Ford Ranger, Mitsubishi Triton dan Isuzu D-Max ini yang berada di atas trailer mungkin memberi petunjuk ia akan dilancarkan tidak lama lagi.

Mula ditunjuk pada November 2020, ini merupakan versi melibatkan perubahan paling besar bagi Navara dalam tempoh enam tahun sejak versi Navara D23 ini diperkenalkan pada 2014. Walaupun gambar yang ada ini tidak terlalu jelas, kita tahu ia merupakan ini versi facelift kerena tulisan yang ada pada bahagian belakangnya, serta lampu belakang dengan bentuk C. Bampar belakang yang lebih berisi turut menempatkan tangga untuk mudahkan capaian ke ruang barangan lebih mudah.

Jika unit warna kelabu yang dilihat ini menggunakan lencana biasa Nissan, unit warna hitam di bawah itu pula menggunakan lencana hitam dengan tulisan Nissan warna merah. Ini petunjuk bahawa ia mungkin grek atau varian Pro-4X terbaru. Versi ini diberikan naik taraf dari segi estetika termasuk pada lengkung tayar, kemasan perincian serta lencana gelap, serta rim hitam dengan tayar all-terrain. Bayangkan ia seperti Hilux Rouge atau Ranger Wildtrak.

Bahagian depan tidak kelihatan dalam gambar ini, tetapi sentuhan facelift-nya mengambil ilham daripada model Titan terkini; ada gril besar dengan ejaan Navara di atasnya. Rekaan lampu ala kiub dengan empat projektor LED serta DRL bentuk C. Paling hampir, boleh merujuk kepada model sama yang diperkenalkan untuk pasaran Thailand pada November tahun lalu.

Di Thailand, trak pikap ini yang dipertingkatkan dan menerima enjin 2.3 liter turbodiesel lebih maju yang telah pun ditawarkan di beberapa pasaran, termasuklah bagi SUV Terra. Ia bagaimanapun untuk gred bahan api Euro 5 dan ke atas. Unit kuasa YS23 ini menggantikan unit YD25DDTi 2.5 liter empat-silinder dan ditawarkan dengan dua varian. Bagi varian YS23DDT turbo-tunggal dengan kotak gear manual enam-kelajuan, ia menghasilkan kuasa hingga 163 PS pada 3,750 rpm dan tork 403 Nm dari 1,500 dan 2,500 rpm.

Manakala bagi varian YS23DDTT turbo-berkembar pula, ia dipadankan dengan kotak gear automatik tujuh-kelajuan yang mampu mengeluarkan kuasa hingga 190 PS dan tork 450 Nm. Bagaimana pun, untuk pasaran negara ASEAN yang lain, termasuk Malaysia, yang masih menggunakan diesen Euro 2M, belum diketahui bakal menerima enjin baharu ini atau tidak.