Beberapa minggu selepas mendedahkan Navara facelift, Nissan telah mengeluarkan spesifikasi penuh untuk pasaran Thai. Berita menarik berkenaan trak pikap yang dipertingkatkan ini ialah ia menerima enjin 2.3 liter turbodiesel yang lebih maju yang telah pun ditawarkan di beberapa pasaran, termasuklah bagi SUV Terra di negara terbabit.

Ia adalah untuk pasaran dengan gred bahan api Euro 5 dan ke atas, penjana kuasa YS23 ini menggantikan unit YD25DDTi 2.5 liter empat-silinder dan ditawarkan dengan dua varian. Bagi varian YS23DDT turbo-tunggal dengan kotak gear manual enam-kelajuan, ia boleh menghamburkan kuasa hingga 163 PS pada 3,750 rpm dan tork 403 Nm dari 1,500 dan 2,500 rpm.

Manakala bagi varian YS23DDTT turbo-berkembar pula, ia dipadankan dengan kotak gear automatik tujuh-kelajuan yang mampu mengeluarkan kuasa hingga 190 PS dan tork 450 N,. Varian asas King Cab menerima unit lama YS25 yang memiliki hamburan kuasa yang sama seperti YS23DDT, tetapi pada puncak kuasa dan tork masing-masing 3,600 rpm dan 2,000 rpm. Walau bagaimana pun, untuk pasaran negara ASEAN yang lain, termasuk Malaysia, yang masih menggunakan diesen Euro 2M, tidak diketahui adakah bakal menerima enjin baharu ini mahu pun tidak.

Sebagai model yang diberikan suntikan lebih segar, bahagian hadapannya diberikan imej yang diinspirasikan dari Titan yang lebih besar, disambungkan dengan gril “interlock” bersama logo Nissan dengan tulisan merah diletakkan pada bahagian tengah gril ini sementara di atasnya pula tertulis Navara dengan saiz besar. Ia turut diberikan lampu utama segi empat tepat, bonet yang lebih tinggi dan rekaan bampar hadapan yang lebih agresif. Untuk belakangnya, ia juga lebih tinggi dengan rekaan tailgate baharu dan bampar yang lebih maskulin bersama sambungan pemijak.

Bagi model spesfikasi tertinggi, ciri ekstra yang diberikan termasuklah lampu utama LED berbentuk kiub dengan lampu nyalaan siang berbentuk-C, lampu belakang LED dengan lampu panduan berbentuk-C. Nissan turut memperkenalkan varian Pro-2X 4×2 dan Pro-4X 4×4 yang menerima serlahan luaran berwarna hitam, sambungan gerbang roda dan roda aloi hitam 17-inci untuk semua jenis tayar.

Untuk bahagian dalamnya pula, antara perubahan yang dibuat ialah menampilkan sistem infotainmen NissanConnect baharu dengan ketersambungan Apple CarPlay dan Android Auto serta skrin sesentuh tujuh- atau lapan-inci, serta beberapa unit port USB (termasuk port USB-C pada bahagian hadapan) dan ditambah dengan penebat bunyi.

Bergantung pada varian, Navara turut menerima paparan multi-info tujuh-inci yang lebih besar dan cermin hadapan dan tingkap sisi hadapan dengan kaca akustik, bersama ciri lain seperti bilah pengelap cermin dengan pengesan hujan, cermin sisi boleh lipat secara automatik, pengunci pintu dengan pengesan kelajuan dan kamera 360-darjah. Model Double cab juga telah diberikan tempat duduk belakang yang telah dibentuk semula agar lebih selesa dan disambungkan dengan perehat tangan bahagian tengah yang turut menempatkan pemegang cawan.

Untuk aspek keselamatannya, Navara baharu ini kini ditawarkan dengan brek kecemasan sendiri (AEB) dan sistem kepekaan perhatian pemandu untuk model V, Pro-2X dan Pro-4X. Manakala varian tertinggi Pro-4X menerima ciri tambahan termasuk amaran ketibaan lorong dengan braking intervention dan pemantauan titik buta.

Bagi aspek suspensi pula, Navara pasaran Thai didatangkan dengan leaf spring belakang untuk mematuhi peraturan bagi cukai kenderaan komersil, namun untuk pasaran lain, dijangka akan menerima spring gegelung yang sama seperti sebelum ini. Nissan juga telah menambah kapasiti muatan, hasil meningkatkan ketegaran gandar belakang, sementara steering rack baharu juga telah mempertingkatkan respon dan pergerakan pada kelajuan rendah.

Harga bagi Nissan Navara baharu bagi pasaran Thailand adalah dari 599,000 baht (RM80,400) untuk model asas King Cab 4×2 SL 6MT hingga 1,149,000 baht (RM154,200) bagi varian tertinggi Double Cab 4×4 Pro-4X 7AT.