Great Wall Motor (GWM) yang mengambil alih kilang pemasangan General Motors (GM) di Rayong, Thailand kini sedang giatkan operasi dan pengeluaran. Kemudahan itu, yang mempunyai kapasiti pengeluaran 80,000 unit setahun akan melayani permintaan bagi pasaran Thailand sendiri, Asean, Australia dan Afrika Selatan sebagai pasaran eksport pemanduan sebelah kanan.

Untuk Bangkok International Motor Show yang akan bermula esok, GWM akan mempamerkan antaranya penampilan global sulung bagi model Haval H6 Hybrid. Dengan ukuran dimensi 4,653 mm panjang dan 1,886 mm lebar, Haval H6 boleh menyaingi saiz Honda CR-V (dengan H6 lebih panjang 30 mm dan 31 mm lebar).

Menggunakan platform Lemon modular, H6 datang dengan pilihan dua unit enjin turbocas untuk pasaran China; 1.5L dengan janaan 166 hp/285 Nm dan unit 2.0L janaan 208 hp/325 Nm. Kedua-duanya menggunakan transmisi klac berkembar tujuh-kelajuan dengan sistem AWD Haldex.

H6 versi hibrid ini akan dipertontonkan kepada umum buat pertama kali di Impact Muang Thong Thani, menggunakan gandingan penjaaan 1.5T DCT. Namun, dengan motor elektriknya, kuasa keseluruhan yang ditawarkan ialah 243 hp dan 530 Nm tork.

Haval H6 versi hibrid ini dijangka akan turut menerima kelangkapan seperti kemasan kulit, kerusi depan elektrik, head-up display, kawalan pendingin dua-zon, corong pendingin belakang dan bumbung kaca panoramik. Papan pemuka rekaan minimalisnya pula menempatkan paparan infotainmen 12.3-inci dan kluster instrumen 10.25-inci. Ada juga teknologi pemanduan autonomous Tahap 2 seperti ADAS dan parkir automatik.

Haval H6 Hybrid untuk pasaran Thailand dibuat di Rayong, dan serahan dijangka dilakukan bermula Jun nanti. GWM juga akan mempamerkan kereta elektrik comel Ora Good Cat ketika pameran tersebut. Nampak gaya macam GMW ada banyak perancangan untuk pasarn rantau ini. H6 Hybrid ini boleh lawan Proton X70?