Toyota Gazoo Racing Musim 4 bakal gegar SIC pada 27-28 Mac ini – ditayangkan secara dalam talian

Toyota Gazoo Racing Musim 4 bakal gegar SIC pada 27-28 Mac ini – ditayangkan secara dalam talian

Tirai Festival Toyota Gazoo Racing (TGR) musim ke-empat bakal dibuka pada 27 hingga 28 Mac ini di Litar Antarabangsa Sepang (SIC). Walau bagaimana pun, disebabkan penularan COVID-19, untuk musim kali ini, festival berkenaan bakal dilaksanakan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ketat termasuk tidak dibuka untuk kunjungan ramai.

Namun demikian, para penggemar sukan permotoran dan juga pengikut TGR masih boleh menyaksikan setiap detik perlumbaan ini menerusi siaran langsung yang bakal dipancarkan menerusi platform media sosial dan laman web rasmi Toyota.

Ini termasuklah segmen baharu yang bakal ditayangkan secara langsung iaitu Toyota Gazoo Racing Off The Grid, yang akan dikendalikan oleh 10 selebriti tempatan yang turut mengambil bahagian dalam kelas Promotional menerusi perlumbaan Vios Challenge.

Toyota Gazoo Racing Musim 4 bakal gegar SIC pada 27-28 Mac ini – ditayangkan secara dalam talian

Manakala segmen Jom Duet Bersama Khai Bahar, Wany Hasrita dan Nabila Razali akan membuka peluang kepada para peminat untuk mengambil bahagian berlakon dan menyanyi secara duet, dengan penyertaan yang terbaik bakal disiarkan menerusi siaran langsung berkenaan. Untuk segmen Melodi Misteri pula, para selebriti terbabit akan menyanyi dengan menyarung helmet dan lagu tersebut hanya mereka yang dapat mendengar, tetapi para peminat boleh meneka lagu yang dinyanyikan itu.

Untuk segmen komedi, dua pelawak iaitu Nabil Ahmad dan Zizan Razak akan berkolaborasi menerusi Latah Positig dan Berita Apani, sekaligus memberikan informasi terkini kepada para penonton berkenaan festival yang berlangsung itu.

Bukan itu sahaja, terdapat juga segmen Arena Bersama Rookies & Tengku Djan, yang bakal dimeriahkan oleh pelumba kelas Rookie Amer Harris, Jwan Hii, Putera Adam, Troy Eimann, termasuk dua pelumba baharu iaitu Mika Hakimi dan Naquib Azlan, dengan penampilan duta Gazoo Racing, Tengku Djan Ley Tengku Mahaleel.

Toyota Gazoo Racing Musim 4 bakal gegar SIC pada 27-28 Mac ini – ditayangkan secara dalam talian

Pelumba Amer Harris dan Mika Hakimi yang baru selesai menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) juga bakal mengendalikan segmen ‘Did you SPM?’, di mana kedua-dua pelumbaan berkenaan akan bertanya kepada para pelumba, mekanik dan petugas rasmi pelumbaan beberapa soalan yang diambil dari kertas peperiksaan terbabit.

Setiap siaran langsung pada kedua-dua hari sepanjang festival berkenaan akan disudahi dengan persembahan secara langsung oleh selebriti yang terlibat.

“Konsep bagi festival berkenaan adalah tidak berubah, cuma cara pelaksanaanya sedikit berbeza memandangkan kita sedang berhadapan dengan situasi yang mencabar ini. Walau bagaimana pun Festival Toyata Gazoo Racing ini akan terus dibawakan khas untuk peminat sukan permotoran,” ujar presiden UMW Toyota Ravindran Kurusamy.

Siaran langsung bagi pusingan pertama untuk musim ke-empat ini bakal dimulakan pada jam 8.45 pagi hingga 12.10 tengahari dan dari jam 2 petang hingga 6 petang pada hari Sabtu. Manakala untuk ahad pula, ia bakal disiarkan dari jam 10.45 pagi hingga 1 tengahari dan 1.30 tengahari hingga 5.30 petang. Ia akan disiarkan secara langsung menerusi laman Facebook Toyota Malaysia dan Toyota Gazoo Racing Malaysia, serta laman web rasmi Toyota Gazoo Racing Malaysia.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Izwaashura Sadali

Ledakan adrenalin dan impak maksima. Antara barisan ayat yang paling digemari apabila menggambarkan prestasi sesebuah jentera. Sebelum terlibat di dalam industri auto pada tahun 2011, dia sekadar gemar melihat sport rim tetapi kini lebih suka menerokai kehebatan sesebuah jentera itu.

 
 

Add a comment

required

required