Data jualan kenderaan ikut jenama di Malaysia untuk Feb 2021 – Proton naik 96%, Honda melonjak 201%

Data jualan kenderaan ikut jenama di Malaysia untuk Feb 2021 – Proton naik 96%, Honda melonjak 201%

Walaupun bulan lalu adalah bulan dengan jumlah hari yang paling sedikit, namun jualan kenderaan di Malaysia nampaknya melonjak semula dan mencatatkan angka yang jauh lebih tinggi dari bulan Januari. Menurut laporan yang dikeluarkan oleh Persatuan Automotif Malaysia (MAA), sejumlah 42,784 kenderaan baharu telah berjaya dijual pada Februari 2021, naik 30.3% berbanding bulan sebelumnya dengan catatan 32,829 unit.

Jumlah berkenaan juga sebenarnya 4.1% lebih tinggi berbanding bulan sama tahun lalu. MAA menyatakan bahawa peningkatan jualan pada bulan lalu tersebut adalah kerana status berberapa negeri yang telah berubah dari Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kepada PKP Bersyarat (PKPB) dan juga PKP Pemulihan (PKPP). Faktor pengecualian cukai jualan sehingga 30 Jun nanti juga antara faktor penyumbang peningkatan ini.

Melihat pecahan berdasarkan setiap jenama, Perodua walaupun masih kekal sebagai jenama terlaris, namun ia satu-satunya yang berada dalam kedudukan lima tertinggi yang mencatatkan penurunan jualan. Perodua menjual 16,583 unit sepanjang Februari 2021, jatuh 1.8% berbanding bulan sebelumnya dengan catatan 16,895 unit. Ini mungkin berkemungkinan disebabkan masalah bekalan cip semikonduktor yang menyebabkan produksi model Myvi, Ariz dan Alza terjejas.

Data jualan kenderaan ikut jenama di Malaysia untuk Feb 2021 – Proton naik 96%, Honda melonjak 201%

Klik untuk besarkan

Sebaliknya Proton yang berada di kedudukan yang kedua mencatatkan peningkatan yang sangat tinggi berbanding Januari iaitu 11,686 unit. Jumlah berkenaan adalah 95.9% lebih tinggi dari bulan sebelumnya dengan catatan hanya 5,722 unit. Awal bulan ini, syarikat berkenaan mengumumkan mereka berjaya menjual sebanyak 11,873 kereta sepanjang bulan lalu. Jadi lebihan dari yang direkodkan oleh data MAA tersebut adalah unit-unit yang dieksport keluar.

Toyota yang berada di tempat pertama untuk jenama bukan nasional bagi Januari masih mengekalkan kedudukannya untuk bulan lalu. Jenama berkenaan berjaya menjual sebanyak 5,026 unit kenderaan sepanjang Februari, berbanding 3,828 unit bulan sebelumnya atau peningkatan sebanyak 31.3%.

Honda walaupun berada di tempat keempat, ia mencatatkan jualan sebanyak 4,389 unit – naik 201.2% berbanding Januari 2021 yang hanya mencatatkan jualan sebanyak 1,457 unit. Manakala di tempat kelima pula adalah Mitsubishi dengan catatan peningkatan sebanyak 15%.

Nissan Jatuh ke tempat ketujuh (-9.1%) di belakang Mazda (+57.6%) bulan lalu, namun secara keseluruhan tahunan ia masih berada di tempat keenam di hadapan Isuzu. Jenama-jenama lain yang mencatatkan penurunan mendadak bulan lalu adalah termasuk Renault (-20%), Subaru (-68.6%), Hyundai (-29.8%) dan Kia (-30.4%).

Dalam segmen premium, Volvo (+161.7%) dan Lexus (+182.4%) mencatatkan peningkatan yang memberangsangkan pada Januari. Porsche pula yang mencatatkan jualan hanya 1 unit pada Januari, berjaya menjual sebanyak 45 unit bulan lalu. Tiada data dari BMW Group Malaysia untuk jenama BMW dan MINI kerana mereka hanya akan berkongsi maklumat berkenaan setiap tiga bulan, manakala Mercedes-Benz pula kini sudah tidak langsung berkongsi data jualan mereka.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required