Mercedes-AMG A45S 4Matic+ 2021 kini di M’sia – murah sikit, tiada lagi Edition 1 & bumbung panaromik

Mercedes-AMG A45S 4Matic+ 2021 kini di M’sia – murah sikit, tiada lagi Edition 1 & bumbung panaromik

Hot-hatch mega, Mercedes-AMG A 45 S 4Matic+ W177 baru sahaja mendarat ke pasaran tempatan tahun lalu, dan kini ia sudahpun diperkenalkan dalam versi 2021. Model yang dikemaskini ini tampil dengan harga sedikit lebih murah, kerana ia tidak lagi ditawarkan dalam versi Edition 1.

Oleh itu, ia dijual pada harga atas jalan tanpa insuran termasuk pengecualian 50% cukai jualan RM437,673, atau RM5,593 lebih murah dari versi Edition 1 2020. Jadi, model 2021 hadir tanpa pelekat sisi badan serta grafik Edition 1 pada kemasan aluminium dan juga lapisan kulit yang dijahit pada papan pemuka.

Selain dari itu, semuanya masih kelihatan sama. Model ini hadir standard dengan pakej AMG Aerodynamics menampilkan splitter hadapan besar, sirip udara sisi, spoiler belakang besar, kemasan hitam pada liang udara palsu di bampar belakang serta diffuser belakang yang lebih menyerlah.

Mercedes-AMG A45S 4Matic+ 2021 kini di M’sia – murah sikit, tiada lagi Edition 1 & bumbung panaromik

Ia juga masih kekal menerima pakej AMG Night, tampil dengan kemasan-kemasan hitam berkilat, dan juga rim 19-inci kemasan matte black. Sekarang, pemilik boleh memilih pilihan penuh warna badan A-Class pada AMG A 45 ini, berbanding hanya Sun Yellow dan designo Mountain Grey Magno pada versi Edition 1 sebelumnya.

Dalam kabin, tempat duduk bucket AMG Performance (larasan kuasa dengan memori) masih lagi dipadankan secara standard, namun ianya diberikan uphlosteri kulit buatan Artico dan serat mikro Dinamica dengan serlahan merah, berbanding kuning pada Edition 1.

Roda stereng AMG dengan rekaan rata di bawah juga masih juga diberikan, namun ia hanya menerima separuh balutan Dinamica, sementara selebihnya dibalut dengan kulit Nappa bersama penanda pukul 12 berwarna merah. Tali pinggang keledar juga telah ditukar dari kuning kepada merah.

Mercedes-AMG A45S 4Matic+ 2021 kini di M’sia – murah sikit, tiada lagi Edition 1 & bumbung panaromik

Dari segi kelengkapan pula, model 2021 ini sudah tidak lagi dibekalkan dengan bumbung panaromik. Ciri-ciri lain seperti lampu hadapan Multibeam LED, skrin 10.25-inci untuk paparan instrumen dan sistem infotainmen Mercedes-Benz User Experience (MBUX), paparan head-up, pendingin hawa dua-zon bersama corong belakang, kemasan bendul AMG bernyala, lampu suasana 64-warna, sistem navigasi dengan informasi trafik semasa, kamera undur serta sistem bunyi Burmester dengan 12-pembesar suara masih diberikan secara standard.

Untuk keselamatan pula, A 45 S dibekalkan dengan sistem brek kecemasan automatik, bantuan kekal lorong, pemantau titik buta dan bantuan parkir, sembilan beg udara, kawalan kestabilan, sistem pemantau tekanan tayar, dan sistem Pre-Safe Mercedes-Benz.

Tiada perubahan pada sistem mekanikal di mana enjin ‘gila’ 2.0 liter empat silinder turbo M139 pada perut A 45 generasi baharu ini terus dibekalkan dengan 421 PS dan tork maksima 500 Nm. Ia digandingkan dengan kotak gear klac berkembar automatik lapan kelajuan AMG SpeedShift 8G, dan juga sistem pacuan semua roda bervariasi (bersama mod drift) 4Matic+ termasuk pakej AMG Driver.

Ini membolehkan Mercedes-AMG A 45 S tersebut memecut dari 0-100 km/j dalam masa hanya 3.9 saat serta kelajuan maksima dicatatkan pada 270 km/j. Selain itu, ia juga menerima sistem suspensi adaptif AMG Ride Control dan sistem AMG Track Pace yang menyediakan data telemetri serta pencatat masa untuk pecutan dan catatan masa di litar.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required