Minggu lalu, kami telah memaparkan SPYSHOT Isuzu D-Max generasi ketiga dan ia telah disahkan bakal dilancarkan pada hujung bulan ini. Malahan trak pikap generasi ketiga ini telah pun dibuka tempahannya, dengan Isuzu Malaysia juga sudah memaparkan imej teaser bagi model ini.

Isuzu Malaysia juga telah mengumumkan harga jangkaannya iaitu dari RM89,000 ke RM145,000, bergantung pada kelulusan kerajaan. Ternyata harganya tinggi sedikit berbanding model semasa – di mana sebelum ini ia merupakan salah satu dari trak paling murah dalam segmennya.

Walau bagaimana pun, ia diberikan ciri yang lebih lengkap. Dibangunkan dengan Isuzu Dynamic Drive Platform baharu, D-Max baharu ini dikatakan lebih tegar dan ringan, sementara suspensi, stereng dan breknya pula telah dipertingkatkan untuk lebih keselesaan dan pengendalian. Malahan enjinnya juga telah diposisi di belakang gandar hadapan untuk meningkatkan pengedaran beratnya.

Ia diberikan dua pilihan enjin turbodiesel – 1.9 liter dan 3.0 liter empat-silinder turbodiesel. Unit 1.9L mampu menghasilkan 150 PS pada 3,600 rpm dan 350 Nm tork dari 1,800 hingga 2,600 rpm dengan gandingan kotak gear yang optimum untuk mendapatkan pecutan yang lebih baik.

Manakala untuk enjin yang lebih besar, ia mampu menghamburkan kuasa hingga 190 PS dan 450 Nm – meningkat sebanyak 13 PS dan 70 Nm berbanding unit lama. Ia juga ditawarkan dengan kotak gear enam-kelajuan manual dan automatik.

Untuk bahagian luarannya, ia direka semula dengan imej yang lebih agresif termasuk gril hadapan yang lebih besar, lampu utama trapezoidal nipis dengan teknologi bi-LED,dan kerangka aerodinamik yang telah diuji dengan melalui terowong angin.

Di dalamnya, ia menampilkan papan pemuka yang lebih bergaya dengan bahagian tengah haksagon, material sentuhan lembut dengan jahitan sebenar dan juga skrin sesentuh infotainmen bersaiz sembilan-inci dengan ketersambungan Apple CarPlay dan Android Auto. Tempat duduk juga telah direka semula untuk lebih keselesaan dengan menawarkan larasan berkuasa untuk bahagian pemandu. Jarak roda yang lebih panjang juga membuatkan ruang kabin lebih besar.

Isuzu Malaysia berkata D-Max juga akan dilengkapi dengan sistem bantuan pemandu yang ditawarkan bagi sesetengah varian, menjadikan model versi Malaysia lebih canggih berbanding yang ditawarkan di Thailand.

Buat masa ini, model yang dijual di Australia dan United Kingdom didatangkan dengan brek kecemasan sendiri dengan pengesan kenderaan yang datang dari persimpangan, kawalan kelajuan adaptif, bantuan kekal lorong, bantuan pemusatan lorong, pemantauan titik buta dan juga lampu tinggi automatik. Walau bagaimana pun, belum dipastikan adakah model pasaran Malaysia bakal menerima sistem keselamatan sebegini mahu pun tidak.

GALERI: Isuzu D-Max V-Cross 3.0 Ddi di Thai Motor Expo 2019