Kerajaan telah mengumumkan bahawa bahan api diesel Euro 2M tidak lagi akan dijual di mana-mana stesen minyak di seluruh negara bermula hari ini, dan ia akan digantikan sepenuhnya dengan diesel Euro 5. Perkara ini telah diumumkan oleh Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man semalam, lapor Bernama.
Langkah ini sepatutnya diambil pada 1 September 2020 seperti yang telah diumumkan oleh kerajaan pada Disember 2015. Namun menurut menteri berkenaan, atas keprihatinan kerajaan, Jemaah Menteri pada 10 Jun tahun lalu bersetuju menangguhkan pelaksanaannya pada 1 April ini susulan kekangan di pihak industri dan pandemik Covid-19.
Beliau turut menyatakan bahawa semua syarikat pengeluar, pembekal dan stesen minyak dikehendaki mematuhi pelaksanaan tersebut selaras dengan Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Kawalan Kandungan Petrol Dan Diesel) 2007 serta Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Kawalan Kandungan Petrol Dan Diesel) (Pindaan) 2021.
“Pelaksanaan spesifikasi minyak diesel Euro 5 merupakan salah satu usaha kerajaan untuk mempertingkatkan status kualiti udara sepertimana yang digariskan dalam Pelan Tindakan Udara Bersih 2010,” katanya dalam satu kenyataan.
Menteri berkenaan turut menjelaskan bahawa kualiti minyak adalah penting untuk sistem enjin dan pelepasan daripada ekzos, malah enjin berteknologi baharu yang mematuhi standard pelepasan Euro 4 ke atas memerlukan minyak yang lebih bersih untuk beroperasi secara optimum dan cekap dalam mengawal pelepasan asap atau gas pencemar daripada ekzos.
“Euro 5 merupakan diesel dengan kualiti yang lebih bersih dan kandungan sulfur yang lebih rendah iaitu sebanyak 10 part per million (ppm) berbanding Euro 2M yang mempunyai kandungan sulfur sebanyak 500 ppm,” katanya dan memberitahu bahawa pelaksanaan spesifikasi minyak diesel Euro 5 di seluruh negara akan dapat mempertingkatkan status kualiti udara.
Diesel Euro 5 sudah berada di Malaysia sejak 2014, hasil inisiatif individu yang dibuat oleh pelbagai syarikat walaupun masih lagi tiada keperluan untuk berbuat demikian pada masa itu. BHPetrol adalah yang pertama menawarkan bahan api berkenaan di stesen-stesen terpilih di Johor, diikuti Shell dan Petronas. Pada 2016 kesemua pemain utama industri termasuk Petron dan Caltex juga telah menawarkan diesel Euro 5 di lokasi terpilih.
Untuk harga terbaharu, diesel Euro 5 dijual pada harga RM2.25 seliter, atau 10 sen lebih mahal berbanding Euro 2M dengan harga RM2.15 seliter. Namun masih lagi belum ada kenyataan rasmi dari kerajaan sama ada ia akan dijual pada harga biasa, atau Euro 5 yang merupakan pilihan tunggal dalam pasaran akan dijual pada harga sama seperti Euro 2M kerana kerajaaan telah menetapkan harga siling untuk diesel pada kadar RM2.15 seliter sebelum ini.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.