Nampaknya aplikasi dan portal MyBayar Saman telah menunjukkan perkembangan yang positif sejak dilancarkan dalam tempoh seminggu ia dilancarkan. Ia mendapat sambutan yang begitu menggalakkan selepas orang ramai mula menggunakan aplikasi/portal ini untuk melangsaikan saman trafik mereka.

Menerusi laporan Berita Harian, Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Azisman Alias berkata, sehingga 31 Mac lalu, hampir RM32 juta bayaran saman telah dikutip iaitu daripada sejumlah 291,157 saman yang direkodkan.

Beliau menambah sebanyak 487,077 pengguna berdaftar dengan aplikasi itu dalam tempoh tujuh hari pertama ia beroperasi, selain 2,677 aduan e-mel telah diterima menerusi sistem terbabit. “Angka itu menunjukkan menunjukkan aplikasi berkenaan mendapat sambutan menggalakkan daripada orang ramai. Saya harap usaha ini akan terus disokong orang ramai dengan terus membuat pembayaran melalui aplikasi berkenaan,” katanya.

Polis berkata, masa kini, orang ramai lebih cenderung untuk membuat transaksi dalam talian, justeru aplikasi/portal ini dilihat mampu memudahkan lagi untuk mereka menyelesaikan saman trafik masing-masing. Tahun lalu sahaja, sebanyak 46.7% saman trafik dibayar menerusi e-pembayaran, berbanding sekitar 18.5% pada 2019. Untuk rekod, sejumlah 5.37 juta saman dikeluarkan sepanjang tempoh 2016 hingga 2020.

Untuk menggunakan MyBayar Saman, anda hanya perlu melayari portal atau memuat turun aplikasi tersebut menerusi telefon bimbit. Menerusi pendaftaran, pengguna perlu memasukkan maklumat diri yang diperlukan, isi pengesapan OTP dan login masuk portal/aplikasi berkenaan. Kemudian, log in aplikasi/portal terbabit dan memilih saman yang hendak dibayar.

Anda boleh memilih mod pembayaran (FPX atau kad kredit/debit) dan aplikasi/portal berkenaan akan merekodkan semua mod transaksi anda. Sehingga 11 April ini, polis turut memberikan diskaun saman sehingga 50% yang dibayar menerusi sistem terbabit, bergantung pada terma dan syarat.