Honda Malaysia telah mengumumkan tiga lagi pemenang bagi kempen 1 Million Dreams, dan kali ini dengan rakan kerjasamanya iaitu CUCKOO, Shopee dan Watsons.

Pemenang yang bertuah ialah Megawati Affendi yang memenangi Honda City selepas mengambil bahagian dalam aktiviti yang dijalankan oleh CUCKOO. Manakala bagi aktiviti yang dijalankan oleh Shopee pula, ia dimenangi oleh Muhammed Faisal Adnan yang berjaya membawa pulang HR-V. Manakala individu yang berjaya memenangi BR-V hasil aktiviti yang dianjurkan oleh Watsons pula ialah Mohd Aisamuddin Mohd Azilah.

Menurut CEO dan Pengarah Urusan Honda Malaysia, Madoka Chujo yang baru sahaja menerajui kepimpinan syarikat ini sejak 1 April lalu, “Bulan lalu, Honda Malaysia telah mencapai satu juta unit jualan, dan kami mahu meraikannya bersama semua rakyat Malaysia. Sebelum ini, model Edisi Istimewa 1 Million telah pun diserahkan kepada empat orang pemilik bertuah. Dan hari ini, tiga lagi pemenang iaitu dengan kerjasama rakan jenama lain diumumkan.

“Untuk semua rakyat Malaysia, pelanggan Honda, rakan media dan rakan jenama, terima kasih di atas sokongan anda dan juga menjadi sebahagian daripada pencapaian ini.”

Honda Malaysia telah menerima lebih 155,600 penyertaan sejak kempen tersebut bermula pada Februari lalu. Menerusi kempen ini, sebanyak tujuh model menawarkan unit edisi istimewa masing-masing iaitu Jazz, City, Civic, Accord, BR-V, HR-V dan CR-V.

Keistimewaan yang ditampilkan ialah semua unit ini menggunakan warna putih berkilau dengan kemasan hitam dan merah sebagai perinciannya. Ini juga merupakan kerja mengecat berkualiti tinggi — termasuk bahagian bumbung hitam — dan bukannya sekadar menggunakan pelekat.