Honda telah mengumumkan senarai kenderaan yang akan dipamerkan ketika Auto Shanghai 2021, dan akan turut melibatkan rekaan baru. Pameran ini akan berlangsung secara langsung, seperti sebelum pandemik dahulu. China telah berupaya membendung Covid-19, dan untuk itu pameran Shanghai berkenaan akan mula dibuka pada 19 April minggu depan.

Pengeluar kenderaan Jepun itu memaklumkan ruang pamerannya nanti akan membuat pengenalan sulung bagi sebuah model prototaip kenderaan elektrik jenama Honda di China, serta pengenalan global bagi model plug-in hibrid baru.

Belum ada perincian lanjut, tetapi Honda melabelkannya prototaip, itu biasanya bermakna sebuah versi maju bagi model akan datang, dan tidak akan jauh berbeza dengan apa yang bakal dibangunkan nanti. Adakah prototaip EV ini merupakan lanjutan kepada SUV e:concept yang pernah ditunjukkan di Beijing pada September 2020?

Ketika itu, Honda menyatakan SUV e:concept berkenaan akan dikeluarkan untuk massa dalam waktu terdekat, walaupun tidak mendedahkan spesifikasi atau sistem janaan kuasa. Ruang dalaman bagi SUV konsep berkenaan telah direka oleh pasukan pereka muda Honda China, dan menampilkan rekaan stereng petak serta skrin sentuh portrait dengan konsol terapung.

Selain prototaip EV dan PHEV baru yang masih dirahsiakan ini, Honda juga melalui dua rakan tempatannya, GAC Honda dan Dongfeng Honda akan turut mempamerakan seluruh barisan kenderaan elektrifikasi kedua-dua jenama itu. Akan ada juga reruai teknologi yang akan mempamerkan sistem Honda Connect generasi ketiga serta sistem keselamatan ADAS dan bantuan pemandu syarikat itu.

Ketika pameran di Beijing, Honda memaklumkan sistem ADAS mereka menawarka pengesanan yang dipertingkat, prestasi ramalan dan membuat keputusan, dengan perkakasan baru untuk membolehkan penambahbaikan ini. Ini termasuk sudut kamera depan yang lebih lebar dan penggunaan radar 360-darjah, membolehkan sistem untuk mengesan persekitaran kenderaan dengan lebih tepat.