Maserati Levante Hybrid diperkenalkan – 2.0L turbo 4-silinder dengan teknologi eBooster; 330 PS/450 Nm

Maserati Levante Hybrid diperkenalkan – 2.0L turbo 4-silinder dengan teknologi eBooster; 330 PS/450 Nm

Susulan pengenalan Maserati Ghibli Hybrid pada Julai tahun lalu, pengeluar kereta Itali ini masih terus memperkenalkan model elektrifikasi dengan model terkini, Levante Hybrid baharu. Ini merupakan SUV elektrifikasi pertama dari Maserati dan ia telah diperkenalkan dalam acara Auto Shanghai yang sedang berlangsung secara digital yang dipancarkan ke seluruh dunia.

Penjana kuasa hibrid yang digunakan juga mirip dengan yang ditampilkan pada Ghibli Hybrid, iaitu 2.0 liter pengecas turbo empat-silinder petrol dan alternator berkuasa 48 voltan. Ia juga diberikan eBooster electric supercharger untuk mengisi jurang tork sebelum turbo membuat kerjanya, atau memulihkan tenaga semasa brek atau pendikitan dilambatkan.

Ia turut digandingkan dengan transmisi automatik lapan-kelajuan sumber-ZF, sama seperti Ghibli Hybrid, walau bagaimana pun yang membezakannya ialah Levante Hybrid merupakan pacuan semua-roda.

Bagi output, penjana kuasanya mampu memberikan 330 PS (325 hp) pada 5,750 rpm dan tork 450 rpm pada 2,250 rpm, membolehkan ia dipecut dari sifar hingga 100 km/j dalam enam saat dan kelajuan maksimum mampu mencecah lebih 240 km/j. Walau bagaimana pun Ghibli Hybrid menawarkan prestasi yang lebih bagus – 0-100 km/j dalam 5.7 saat dan kelajuan maksimum 255 km/j – tetapi SUV ini lebih berat – 2,090 kg berbanding 1,878 kg.

Berbanding dengan barisan Levante yang lain, varian hibrid adalah lebih berkuasa tetapi kurang tork berbanding varian diesel dengan pek 275 PS (271 hp) dan tork 600 Nm dari enjin 3.0 liter turbodiesel V6. Di kalangan penjana petrol dalam barisannya, Levante Hybrid adalah yang paling kurang berkuasa, dengan enjin 3.0 liter turbo-berkembar V6 untuk varian asas (350 PS/500 Nm) dan Levante S (430 PS atau 424 hp/580 Nm), dengan kedua-duanya menawarkan output yang tinggi.

Kalau ikutkan model lain dalam barisannya, enjin 3.8 liter turbo-berkembar V8 yang digunakan pada Levante GTS (558 PS atau 550 hp dan 730 Nm) dan Levante Trofeo (598 PS atau 590 hp dan 730 Nm) turut menyalurkan prestasi yang lebih menggiurkan. Walau bagaimana pun pastinya versi hibrid menang dalam sudut penjimatan.

Versi yang dilancarkan ini menampilkan kemasan warna metallic tri-coat baharu yang dipanggil Azzurro Astro, yang ditawarkan menerusi program penyesuaian Maserati Fuoriserie. Ciri lain untuk Levante Hybrid termasuklah serlahan biru pada sisi corong udara, kaliper brek dan logo pada tiang-C. Ciri ini lebih kurang sama dengan Ghibli Hybrid dan model hibrid Maserati yang lain.

Di dalamnya, Levante Hybrid tidak menawarkan banyak perubahan berbanding varian biasa, cuma ciri unik yang ditampilkan ialah jahitan biru. Selain itu, model baharu ini juga menerima sistem telemetri Maserati Connect terkini, di mana pemiliknya boleh memeriksa status kereta mereka menerusi telefon bimbit atau jam pintar, dengan sokongan Amazon Alexa dan Google Assistant.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Izwaashura Sadali

Ledakan adrenalin dan impak maksima. Antara barisan ayat yang paling digemari apabila menggambarkan prestasi sesebuah jentera. Sebelum terlibat di dalam industri auto pada tahun 2011, dia sekadar gemar melihat sport rim tetapi kini lebih suka menerokai kehebatan sesebuah jentera itu.

 
 

Add a comment

required

required