Mercedes-Benz secara rasminya telah memperkenalkan SUV elektrik sepenuhnya EQB. Model berkenaan menyertai model EQA dalam barisan EV kompak terbaru jenama itu, bersama juga EQC, MPV elektrik EQV dan model flagship EQS yang membuat penampilan hujung minggu lepas.

Dilancarkan di China sebagai varian paling lengkap EQB 350 4Matic AMG Line dengan pacuan semua roda, EQB menyediakan output 288 hp, dengan kuasa dibekalkan oleh bateri berkapasiti 66.5 kWh untuk model pasaran Eropah, serta pilihan terhadap beberapa model lain dengan versi pacuan depan dan semua roda. Ini memberikan jarak perjalanan 419 km menurut kitaran ujial WLTP.

Kecepanan EQB dibantu dengan bacaan drag coefficient 0.28, disumbangkan antaranya oleh pendekatan aerodinamik seperti sistem penyejukan tertutup sepenuhnya, bahagian apron bampar depan dan belakang, bahagian bawah badan yang tertutup hampir keseluruhannya, rekaan rim aero serta rekaan spoiler depan dan belakang.

Model EQB elektrik sepenuhnya ini mempunyai dimensi ukuran 4,684 mm panjang, 1,834 mm lebar dan 1,667 mm tinggi dengan jarak antara roda 2,829 mm; ini 50 mm lebih panjang dan 5 mm lebih tinggi berbanding GLB tujuh-tempat duduk, sementara lebar dan jarak antaranya sama.

Ruang dalaman bagi kenderaan lima-tempat duduk ini melibatkan 1,035 mm ruang kepala di barisan pertama dan 979 mm di barisan kedua dengan 87 mm ruang kaki untuk barisan kedua yang sama. Kapasiti ruang barangan ialah 495 liter hingga 1,710 liter bagi versi lima-tempat duduk, sementara 465 liter hingga 1,620 liter bagi versi tujuh-tempat duduk. Tempat duduk barisan kedua juga boleh dilaraskan 140 mm lagi, memberikan tambahan 190 liter untuk ruang barang.

Kerusi barisan ketiga EQB — standard untuk pasaran China — menyediakan dua tempat duduk selesa untuk penumpang dengan tinggi maksimum 165 mm. Lima kerusi keselamatan kanak-kanak boleh dipasangkan dalam kabin SUV ini, termasuk satu di kerusi penumpang depan.

Kadar pengecasannya sehingga 11 kW AC disediakan menggunakan outlet elektrik di rumah ataupun WallBox Mercedes-Benz, yang menjadikan tempoh mengecas lebih pendek. Jika ingin pengecas lebih pantas, stesen pengecas DC dengan kadar sehingga 100 kW boleh digunakan, membolehkan tenaga bateri naik dari 10% ke 80% dalam masa 30 minit. EQB bagi pasaran Eropah dan Amerika Syarikat menggunakan penyambung CCS pada panel sebelah kanan, sementara di China penyambung spesifik untuk pasaran itu di sebelah kiri.

Kecekapannya dibantu oleh Eco Assist, yang membantu process pemulihan kuasa dengan menggabungkan data navigasi, pengesanan tanda trafik dan maklimat daripada sensor untuk menjangka keadaan jalan. Ada juga navigasi dengan Electric Intelligence sebagai standard, yang akan mengira laluan terpantas ke destinasi diingini, termasuk dengan maklumat sekiranya memerlukan hentian pengecasan.

Sistem berkenaan akan sentiasa mensimulasikan baki jarak kenderaan dan memaklumkan lebih awal sekiranya kenderaan perlu dicas ataupun faktor-faktor lain yang terlibat seperti keadaan permukaan jalan dan cuaca, serta keadaan trafik dan gaya pemanduan juga. Navigasi dengan sistem Electric Intelligence juga memastikan bateri berada dalam suhu optimal untuk dicas sebelum kenderaan tiba di hentian pengecas yang dirancang.

Kelengkapan keselamatan pada EQB bantuan mengekalkan lorong dan bantuan brek sebagai standard, ciri brek ini juga membantu ciri brek kecemasan autonomous yang boleh berhenti dan mengesan kenderaan lain yang tidak bergerak serta dalam kelajuan bandar, mampu juga mengesan pejalan kaki yang sedang melintas.

Pakej Bantuan Pemanduan pula turut menyertakan fungsi kilasan selekoh, koridor kecemasan, amaran keluar yang akan memaklumkan kenderaan lain atau pengayuh basikal serta pengesan pejalan kaki di lintasan zebra.

Untuk keselamatan, bateri pacuan bagi EQB ini terletak di dalam kerangka badan kenderaan sebagai sebahagian strukturnya juga. Bateri di seksyen depan EQB pula dilindungi daripada objek asing yang mungkin menembusinya.

Mercedes-Benz EQB akan dikeluarkan dari dua kilang berbeza; kemudahan di Kecskemét di Hungary akan mengeluarkan SUV elektrik untuk pasaran global, manakala kilang usahasama dengan BBAC di Beijing akan mengeluarkan EQB untuk pasaran tempatan China.

Bateri untuk kenderaan ini dibekalkan oleh anak syarikat Mercedes, Accumotive di Kamenz, Jerman serta kilang bateri di Jawor, Poland. EQB akan dijual di China tahun ini, sementara pasaran antarabangsa bermula hujung 2021.