Jaguar telah memperkenalkan model I-Pace Edisi Khas terbaru untuk pasaran UK. Ia menggunakan asas dari versi SE dan HSE yang lebih mahal, dengan tambahan ciri seperti rim aloi hitam berkilat 20-inci, bumbung panoramik, kaca privasi dan kemasan dalaman hitam berkilat untuk tampil lebih sporty.

Kelengkapan lain adalah sama seperti kemaskini yang dilakukan pada tahun 2020. Untuk itu, model ini juga akan dilengkapi dengan sistem infotainmen terkini Jaguar Pivi Pro, merangkumi kluster instrumen definisi tinggi 12.3-inci serta paparan skrin sentuh 10-inci. Turut tersedia sebuah skrin sentuh kecil lima-inci dengan dail bulat bagi kawalan HVAC di bawah.

Tambahan lain termasuklah eSIM dua-modem, pelantar pengecas tanpa wayar pilihan di bawah konsol tengah, ionisasi kabin dengan penapis PM2.5 serta sambungan serentak untuk dua telefon.

Tiada sebarang perubahan pada sistem janaan dilakukan. Ia kekal memanfaatkan dua motor elektrik (satu bagi setiap gandar) yang menghasilkan keseluruhannya 400 PS dan 696 Nm tork. Sistem pacuan semua roda adalah standard, membolehkan kereta ini memecut 0-100 km/j dalam masa 4.8 saat.

Kemaskini terbaru itu juga turut melibatkan pengecas dalaman 11 kW sebagai standard untuk pengecasan lebih pantas. Jaguar memaklumkan pek bateri 90 kWh boleh dicas pada kadar 53 km per jam jika disambungkan pada outlet 11 kW, sementara cas penuh memerlukan 8.6 jam. Melalui Wallbox 7.4 kW, proses berkenaan mengambil masa 12.75 jam.

Dengan pengecas pantas DC pula boleh menikmati kadar pengecasan 100 kW, yang menyediakan jarak perjalanan 125 km dalam masa hanya 15 minit. Satu cas penuh menyediakan 450 km jarak. Harga bagi Jaguar I-Pace edisi khas ini bermula dari £72,445 (RM417k).