Hongqi S9, sebuah hypercar mewah yang direka oleh Walter De Silva kini sudah pun didedahkan. Ini merupakan model pertama dari siri S yang akan diperkenalkan kelak, dan pengeluarnya, Silk-FAW akan mula mengambil tempahan dalam masa terdekat.

Spesifikasi teknikal terperinci berkenaan kereta ini bagaimanapun masih belum dihebahkan, namun ia bakal dilengkapi janaan elektrifikasi dengan enjin 4.0 liter V8. Janaan keseluruhannya dijangka memiliki 1,400 hp, dan jentera dengan pacuan empat-roda ini disifatkan mampu memecut 0-100 km/j dalam masa 1.9 saat sebelum mencapai laju maksimum 400 km/j.

Menurut pengeluarnya, kereta ini akan menjadi model kompak, ringan dengan e-gandar yang paling cekap dalam pasaran. Akan ada tiga mod pemanduan yang akan disediakan, termasuk elektrik sepenuhnya untuk pemanduan dalam bandar. Pek baterinya pula dijangka memberikan jarak 40 km dengan satu cas penuh, namun angka ini belum disahkan.

Rekaannya bagaimanapun tidak ada iras model konsepnya yang pernah ditunjuk sebelum ini, selain pada bahagian bumbung. Ia mempunyai “ekor” yang panjang dengan spoiler belakang adaptif, port udara di sekitar lampu LED belakang, ruang masukan udara gentian karbon yang bersepadu dengan lampu utama serta kerangka “space frame”.

Belum ada gambar untuk bahagian dalaman yang diedarkan, namun pengeluar menyatakan kabinnya direka untuk memberikan keselesaan maksimum. Antara yang dikhabarkan turut disertakan ialah tiga paparan skrin sentuh; dua untuk pemandu dan satu untuk penumpang. Tidak ketinggalan sistem lampu suasana kabin dan cermin tingkap elektrokromatik.

Hanya 99 unit hypercar ini akan dikeluarkan, dengan kumpulan pertamanya dijangka akan mula diserahkan pada tahun 2022. Harga asasnya pula bermula dari 10 million yuan (RM6.3 juta). Pengeluarannya akan dilakukan sama ada di daerah Emilia-Romagna di Itali atau di Jilin, China.