Susulan pengenalannya tahun lalu, Cadillac Lyriq telah pun ditunjukkan dalam bentuk produksi sebagai model 2023, yang dikhabarkan bakal membuka tempahan mulai September ini, dan boleh didapati pada separuh pertama 2022, menurut Cadillac.

Menurut pengeluar kereta Amerika yang turut mengesahkan SUV elektrik berasaskan platform Ultium ini dijanakan dengan motor-tunggal RWD, yang mengandungi pek bateri 100 kWh untuk hamburan kuasa yang dijangka mencecah 340 hp dan tork 440 Nm, dengan jarak 480 bagi pengecasan penuh.

Lyriq juga boleh menggunakan pusat pengecasan pantas awam dan juga boleh dicas pada kadar sehingga 190 kW DC, untuk jarak jangkaan 121 km dengan pengecasan bermula 10 minit. Sementara itu, untuk pengecasan di rumah dengan modul pengecasan 19.2 kW dengan menggunakan 240 V AC, ia menawarkan jarak sehingga 83 km bermula pengecasan selama sejam. Jika menggunakan pengecas 11.5 kW AC, bakal dapat jarak 50 kW untuk sejam pengecasan dan dengan pengecasan 120 V, ia mampu memberikan jarak 5.6 km untuk durasi yang sama.

Penjimatan untuk Lyriq ditambah dengan teknologi Regen-on-Demand, termasuk dengan pemanduan satu-pedal. Regen-on-Demand membolehkan pemandu memilih kadar kelambatan regeneratif dari pedal sensitif-tekanan yang terletak pada roda stereng, yang akan menambah pemulihan tenaga apabila bergerak perlahan.

Dimensi luaran bagi Lyriq adalah 4,996 mm panjang, 1,977 mm lebar dan 1,623 mm tinggi dengan jarak roda 3,094 mm. Menurut Cadillac, beratnya sekitar 2,545 kg, sementara kapasiti penyimpanan barang mencecah 793 liter di belakang tempat duduk belakang, atau 1,723 liter jika tempat duduk belakang dibaringkan.

Casis Ultium dalam Lyriq menampilkan suspensi lima-sambungan pada gandar hadapan dan belakang, sementara brek pula dikendalikan oleh cakera brek berukuran 321 mm di hadapan dan 345 mm di belakang. Ia juga diberikan roda aloi split-spoke 20-inci dengan tayar 265/50 secara standard, atau pilihan roda aloi split-spoke 22-inci dengan tayar 275/40.

Ciri yang diberikan untuk Lyriq 2023 termasuklah Super Cruise yang membolehkan pemanduan bebas-tangan untuk laluan terpilih di Amerika Utara, panel paparan LED 33-inci dengam lebih dari satu bilion warna, pembatalan bunyi bising aktif, lampu utama LEF dengan ‘choreographed lighting sequence’, sistem bunyi AKG Studio 19-pembesar suara dengan pembesar suara pada perehat kepala, akses kenderaan Digital Key dan dwi-tahap bagi kod pengecasan.

Ia akan ditawarkan dengan kemasan luaran Satin Steel Metallic dan Stellar Black Metallic bersama rona dalaman Sky Cool Gray atau Noir. Produksi bagi Cadillac Lyriq 2023 dijangka bermula pada suku pertama tahun 2022 di fasiliti General Motor di Spring Hill, Tennessee, dan harga yang ditawarkan adalah dari US$59,990 (RM246,108) di Amerika Utara.