Volvo telahpun mengehadkan kelajuan maksima hanya 180 km/j untuk kereta-keretanya bermula tahun lalu susulan pengumuman yang dibuat pada 2019. Nampaknya pengeluar kereta dari Perancis, Renault turut bakal mengambil langkah yang sama.
Pengumuman tersebut dibuat sebagai salah satu polisi halatuju CSR Renault Group dan memainkan peranan dalam strategi Renaulution, yang disampaikan dalam mesyuarat agung tahunan syarikat berkenaan Jumaat lalu, dan langkah ini turut diimplementasikan pada satu lagi jenama di bawahnya iaitu Dacia.
Sasaran untuk langkah yang diambil oleh Renault ini adalah sama seperti Volvo, iaitu untuk mengurangkan kadar kemalangan jalan raya. Menurut Renault, di Eropah kadar kematian dalam kemalangan jalan raya telah mencapai angka 23,000 pada 2019, dan sebab paling tinggi yang menyebabkan kematian berkenaan adalah kerana kelajuan yang tidak sesuai (30%), memandu di bawah pengaruh dadah atau alkohol (25%) dan kurang konsentrasi (20%).
Respon yang diambil oleh Renault ini pula adalah berdasarkan kepada dua aspek: mengelakkan kemalangan dan membantu servis kecemasan. Program keselamatan pencegahan pula berfungsi dalam tiga perkara iaitu Kesan, Bimbing dan Bertindak.
Untuk Kesan, ‘Markah Keselamatan’ akan menganalisa data pemanduan menggunakan penderia yang diletakkan pada kenderaan bagi menggalakkan pemanduan lebih selamat. Manakala untuk Bimbing, ‘Jurulatih Keselamatan’ akan memproses data jalan raya dan trafik bagi memberitahu pemandu risiko yang berpotensi pada laluan mereka serta memberikan amaran masa sebenar terhadap kawasan berbahaya.
Akhir sekali untuk Bertindak, ia akan menampilkan mekanisma fail-safe yang akan diaktifkan secara automatik sekiranya terdapat bahaya yang jelas. Contohnya ketika mengambil selekoh secara terlalu bahaya, hilang kawalan roda stereng dalam tempoh masa lama serta mengantuk. Fungsi ini akan memperlahankan kenderaan, mengembalikan “mod pemanduan selamat”.
Menurut Renault pada 2022, model Megane-E – yang diprebiu sebagai Megane eVision Concept bermula Oktober 2020 – akan dibekalkan dengan pelaras pengehad kelajuan automatik, yang akan ditetapkan seara lalai. “Kelajuan maksima turut akan dihadkan pada 180 km/j. Kelajuan ini turut akan dihadkan pada model-model Renault dan Dacia, dan tidak akan melebihi 180 km/j,” kata Renault.
Buat masa sekarang, Renault masih mempunyai model-model prestasi tinggi yang serius seperti hot-hatch Megane RS dan Clio RS. Mungkin ada pengecualian untuk model-model prestasi ini kerana ia lazimnya dipandu ke litar untuk sesi Track Day? Namun, tak semua litar sama seperti litar Sepang yang menampilkan laluan lurus yang cukup untuk memcatatkan kelajuan lebih dari 180 km/j.
Dalam pengumuman ini juga Renault hanya menyebut Dacia, tetapi tidak menyentuh jenama kereta sportnya iaitu Alpine. Buat masa sekarang, pasukan Formula 1 Renault juga telah dijenamakan semula dengan nama Alpine. Jadi apa pendapat anda berkenaan langkah yang diambil oleh Renault ini? Adakah ia benar-benar boleh mengurangkan kadar kematian dan kemalangan?
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.