Hyundai-Sime Darby Motors (HSDM) dengan rasminya memperkenalkan Elantra 1.6 Executive untuk pasaran Malaysia. Ini menjadi tambahan varian kepada penawaran sebelum ini, 1.6 Premium yang dilancarkan di Malaysia Disember tahun lalu. Varian lebih rendah ini juga diimport sepenuhnya dari Korea Selatan, dengan harga pengenalan RM139,888.

Ini menjadikannya sekitar RM19k lebih murah berbanding varian Premium. Untuk itu juga, tentulah ada ciri dan kelengkapan yang dikurangkan pada varian ini. Paling ketara ialah pada bahagian dalamannya; model Executive ini mengenakan kerusi balutan fabrik hitam dengan benang putih, larasan kerusi manual dan instrumen lebih konvensional dengan paparan multi-info 4.2-inci.

Ia juga tidak datang dengan fungsi pemanas serta liang pengudaraan untuk kerusi depan, termasuklah fungsi pemanas stereng (walaupun masih lagi balutan kulit) serta pengecas telefon tanpa wayar turut digugurkan. Tidak lupa, tiada juga ciri cermin pandang belakang elektrokromatik.

Kelengkapan lain yang turut terkesan ialah ciri Hyundai SmartSense, yang pada varian ini hanya datang dengan tahap paling asas. Executive ini hanya menerima kawalan melayar pasif, amaran titik buta dan amaran lintasan trafik belakang. Fungsi selebihnya yang ada pada varian Premium, tiada pada Executive.

Inilah yang membezakan kelengkapan antara kedua-dua varian tersebut. Selebihnya, penampilannya berkongsi ciri yang sama; lampu utama LED projektor, lampu belakang kombinasi LED dengan elemen lampu jalur, rim 17-inci dua tona, skrin lapan-inci dengan sokongan Apple CarPlay dan Android Auto, serta enjin 1.6 liter Smartstream (123 PS, 154 Nm) dan kotak gear IVT dengan empat mod pemanduan.

“Kami menerima permintaan yang agak banyak daripada pelanggan yang mahukan Elantra terbaru ini dengan tanda harga yang lebih rendah. Seperti kereta import lainnya, kadar tukaran matawang asing menjadi penentu utama bagi harga kenderaan di sini,” ujar Pengarah Urusan HSDM, Low Yuan Lung. Apa pandangan anda tentang varian paling asas Elantra ini?