Semepan dengan Hari Raya Aidilfitri yang bakal tiba tidak lama lagi, Puspakom menganjurkan kempen Pemeriksaan Kenderaan Secara Sukarela (Voluntary Vehicle Inspection – VVI) percuma. Bertemakan “Jaga jarak! Jaga kenderaan! Jom buat pemeriksaan VVI percuma!”, kempen VVI percuma ini dianjurkan khusus untuk kenderaan persendirian di mana pemilik- pemilik kenderaan boleh membawa kenderaan mereka di mana-mana cawangan Puspakom seluruh negara (kecuali cawangan Shah Alam dan Pasir Gudang). Ia bermula pada 2 hingga 12 Mei 2021 dari jam 8 pagi hingga 5 petang.

Menurut Puspakom, walaupun musim perayaan ini kita tidak dibenarkan merentas negeri untuk pulang ke kampung, namun keselamatan kenderaan masih perlu dititikberatkan kerana kenderaan masih lagi digunakan untuk bergerak melakukan aktiviti harian seperti pergi bekerja dan membeli barang keperluan.

Walau bagaimana pun, bagi memastikan para pelanggan yang hadir pemeriksaan mematuhi SOP yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan juga bagi mengelak daripada kesesakan di cawangan Puspakom, semua pelanggan yang ingin menjalani pemeriksaan percuma ini dikehendaki membuat temujanji secara dalam talian terlebih dahulu di www.mypuspakom.com.my. Fi pemprosesan MyPUSPAKOM yang dikutip pada waktu tempahan akan dipulangkan setelah pemeriksaan selesai.

“VVI secara percuma ini dianjurkan untuk kita mengubah persepsi masyarakat dan meningkatkan kesedaran serta kefahaman mereka terhadap aspek keselamatan kenderaan. Kenderaan bukan hanya perlu diselenggara pada musim perayaan, atau sebelum memulakan perjalanan jauh, tetapi juga harus menjalani pemeriksaan secara berjadual. Ini akan memastikan keadaan kenderaan beroperasi pada tahap yang terbaik.

“Terdapat 25 item yang akan diperiksa iaitu termasuk ujian brek, gelincir sisi, tayar, suspensi, asap , lampu, cermin gelap, bahagian atas dan bawah kenderaan dan banyak lagi,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Puspakom, Shukor Ismail.

Selain di cawangan, Unit Pemeriksaan Bergerak Puspakom turut berada di dua lokasi bagi menawarkan pemeriksaan percuma ini iaitu di Wisma DRB-HICOM, Shah Alam pada 3 Mei dan di Perkarangan Stadium Cheras, Kuala Lumpur pada 8 Mei 2021 dengan kerjasama Persatuan Pengguna Jalan Raya Kebangsaan (PPJK). Unit Pemeriksaan Bergerak ini akan beroperasi dari jam 9 pagi hingga 4 petang pada tarikh tersebut.