Citroen telah memperkenalkan sebuah model kenderaan komersial (LCV) baru, My Ami Cargo yang direka khusus untuk perkhidmatan penghantaran “jarak akhir” serta untuk kegunaan perniagaan yang beroperasi di kawasan urban Eropah, di mana had laju kerap dihadkan dan ruang juga sama terhad.

Dengan panjang 2.41 meter, lebar 1.39 mter dan tinggi 1.52 meter, kenderaan elektrik sepenuhnya yang kecil ini mungkin nampak kompak dari luar, tetapi dalamannya cukup luas. Ia menggunakan asas yang sama dengan Ami dua-tempat duduk sedia ada. Namun, kali ini, tempat duduk penumpang telah digantikan dengan modul polypropylene tujuh bahagian yang boleh menampung sebanyak 260 liter atau 140 kg barangan. Keseluruhannya, My Ami Cargo menyediakan kapasiti barangan 400 liter.

Kereta ini dikuasakan oleh motor elektrik 6 kW, sementara bateri lithium-ion 5.5 kWh menyediakan jarak perjalanan 75 km untuk sekali cas. Menurut Citroen, bateri berkenaan boleh dicas penuh dalam masa tiga jam menggunakan soket domestik biasa. Kereta ini juga dikecualikan daripada larangan dan cas kesesakan di kebanyakan bandar Eropah.

Perniagaan yang boleh memanfaatkan My Ami Cargo ini adalah seperti e-dagang dan penghantaran makanan di rumah, serta tukang paip, tukang elektrik, tukang pintu, pihak berkuasa tempatan serta perkhidmatan awam yang lain.

Disebabkan ia sebuah kenderaan komersial, pemilik perniagaan boleh mengubah suai kenderaan ini untuk menempatkan logo dan slogan iklan mereka sendiri. Ada banyak juga aksesori yang ditawarkan seperti jaring pintu, pengalas lantai, storan tambahan, klip telefon dan sambungan telefon pintar.

Harga bermula daripada 6,490 Euro (RM32k), kereta ini boleh ditempah bermula Jun nanti. Di Perancis, pembelian 10 kurang daripada 10 kenderaan ada kemungkinan untuk menambah logo pada kenderaan ketika membuat tempahan kelak. Pembelian dalam jumlah yang lebih besar pula boleh memilih untuk melakukan ubahsuai khas termasuk warna badan, tambahan logo dan grafik atau membalut keseluruhannya untuk mencerminkan imej syarikat juga mungkin akan ditawarkan.