Proton nampaknya bakal melancarkan satu lagi model edisi istimewa tahun ini – kami telah diberikan satu brosur dari sumber untuk model istimewa yang digelar Proton X70 SE.
Jadi apa yang istimewa pada model berkenaan berbanding X70 biasa? Pertama sekali, ia hadir dengan warna Ocean Blue, yang tidak pernah ditawarkan kepada X70 sebelum ini, dan ia digandingkan dengan penutup cermin sisi serta bumbung berwarna hitam bagi memberikan tema warna dua-tona, seperti X70 Merdeka Edition sebelum ini.
Namun sekiranya anda tidak berminat dengan warna biru tersebut, X70 SE ini turut ditawarkan dengan satu lagi warna iaitu Ruby Red. Selain itu, ia juga nampaknya diberikan rim 19-inci dengan rekaan eksklusif yang lebih sporty dari rim 19-inci pada model Premium 2WD dan Premium X 2WD. Emblem SE turut dilihat dilekat pada pintu tailgate belakang.
Proton juga turut memberi berberapa perincian unik pada bahagian kabin model ini. Ia termasuk upholsteri kulit Nappa hitam (warna perang untuk model biasa), serta panel-panel dengan kemasan unik dan juga karpet lantai dengan logo SE.
Brosur ini juga menunjukkan bahawa Proton menawarkan berberapa aksesori tambahan untuk X70 SE ini, antaranya adalah visor pintu dan juga perakam video digital (dashcam) – kedua-dua aksesori ini sebenarnya sudah pun ditawarkan untuk varian X70 sedia ada.
Walau bagaimanapun, tiada sebarang perincian berapa unit model edisi khas ini akan dihasilkan serta berapa harga jualannya menerusi brosur yang kami terima ini.
Kami menjangkakan tiada perubahan mekanikal akan diberikan pada X70 SE ini, dan ia akan terus dijana oleh enjin 1.8 liter empat silinder turbo menghasilkan 184 PS dan tork maksima 300 Nm, digandingkan dengan kotak gear klac berkembar automatik jenis basah tujuh kelajuan dan hanya memacu roda belakang.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.