Selepas ditunjukkan sebagai teaser minggu lalu, kini Auto Bavaria mendedahkan sepenuhnya BMW X5 xDrive45e G05 dengan kelengkapan M Parts yang akan dijual cuma sebanyak 30 unit sahaja di Malaysia. Model ini telah diubah suai khas oleh Auto Bavaria dengan pelbagai kelengkapan berwarna hitam untuk menjadikannya lebih garang dan sporty.
Antaranya adalah seperti gril hadapan hitam berkilat, pelindung cermin sisi gentian carbon dan rim M Star Spoke Style 748 20 inci warna hitam, menggantikan rim Style 740 M dua tona yang digunakan pada varian biasa X5.
Selain daripada itu, tiada perubahan mekanikal, enjinnya masih lagi menggunakan unit enam silinder 3.0 liter B58 bersama gabungan motor elektrik, untuk menghasilkan kuasa keseluruhan 394 PS dan 600 Nm tork. Untuk menyampaikan kuasa ke atas jalan, ia dipadankan bersama transmisi automatik lapan kelajuan serta sistem pacuan semua roda xDrive.
Kelengkapan lain juga adalah sama seperti varian biasa. Ini termasuklah lampu jenis LED adaptif, brek M Sport dengan angkup berwarna biru, sistem infotainmen BMW Live Cockpit Professional dengan 14 pembesar suara, sistem bunyi Harman Kardon 464 watt, suspensi udara dan pakej BMW Driving Assistant.
Harga jualan X5 xDrive 45e dengan kelengkapan M Performance ini adalah RM468,800 tidak termasuk insurans, dan ia didatangkan bersama jaminan lima tahun tanpa had batuan dan program servis berkala percuma. Walaupun harga ini agak tinggi, Auto Bavaria juga menawarkan hadiah percuma bernilai lebih RM22,000, yang termasuk pengecas i-Wallbox BMW dan perakam video Advance Car Eye.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.