Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong telah mengumumkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) memberikan lanjutan tempoh sembilan bulan bagi Lesen Belajar Memandu (LDL) mulai 11 Februari sehingga 11 November ini.
Katanya, pemilik LDL layak mendapat tempoh lanjutan itu dengan membuat salinan LDL bersama bayaran RM10 sekiranya LDL tamat tempoh melebihi dua tahun atau ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), laporan. Berita Harian.
“Tarikh yang akan dicetak pada LDL adalah tarikh transaksi dilakukan dan tamat pada 11 November ini (melebihi tempoh tiga atau enam bulan). Jika tarikh tamat lesen LDL lebih dua tahun (sebelum 13 Januari atau selepas 11 November ini), pemilik tidak layak menerima penyelarasan baharu PKP dan perlu membuat permohonan baharu LDL.
“Mereka juga perlu mengulangi semula Latihan Kurikulum Pendidikan Pemandu (KPP) 01, 02 dan 03 serta menduduki kesemua Ujian Bahagian I, II dan III. Pemilik LDL B2 Tunggal dibenarkan untuk transaksi memperbaharui lesen dengan bayaran RM2 bagi tempoh tiga bulan jika LDL berbaki dua tahun,” katanya.
Tambah beliau, lanjutan itu susulan pelaksanaan PKP bermula 13 Januari lalu yang melarang pengoperasian Pusat Latihan Memandu atau Institut Memandu (IM), E-hailing Operator (EHO) dan Pusat Ujian Komputer (e-Khidmat) membabitkan aktiviti latihan dan ujian.
Pada 11 Februari lalu, Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri mengumumkan sekolah memandu boleh beroperasi semula , namun perlu mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan Kementerian Kesihatan serta Majlis Keselamatan Negara (MKN).
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.