Dalam pelancaran Hyundai Kona facelift yang diadakan secara maya bulan lalu, Hyundai-Sime Darby Motors (HSDM) telah menunjukkan teaser versi N Line untuk SUV segmen-B tersebut. Malah baru-baru ini, HSDM telah menyiarkan video jentera tersebut menerusi laman Facebook dan mengesahkan ia bakal tiba ke pasaran Malaysia tidak lama lagi.

Seperti sebelum ini, HSDM masih tidak berkongsi perincian mengenai N Line, namun apa yang kita tahu, ia akan model tertinggi dalam barisan Kona, buat masa ini cuma menawarkan varian 2.0 dan 2.0 Active.

Perubahan yang dilakukan berbanding Kona standard termasuklah bahagian hadapan baharu yang lebih agresif, dengan corong pengambilan udara yang lebih besar, splitter hadapan dan fin yang terletak di sudut bampar berwarna perak, serta tiga inlet palsu yang diletakkan di atas gril. Gril pula menampilkan bentuk=Y, sementara corong pengambilan udara dengan kemasan honeycomb yang unik.

N Line juga menerima skirt sisi yang lebih tajam dan bampar belakang yang dirombak semula dengan diffuser yang lebih besar, dua paip ekzos tersembunyi, corong sudut dan fin palsu yang dikatakan untuk mempertingkatkan aliran udara. Bukan itu sahaja, perubahan luaran juga melibatkan penampilan roda aloi dua-tona 18-inci dengan gaya ala turbin yang unik.

Di dalamnya, N Line juga berbeza dengan model standard, ia diberikan pedal logam, tempat duduk dengan jahitan merah, tombol gear dengan jaluran merah dan logo N pada roda stereng, tombol gear dan tempat duduk. Manakala fabrik hitam, kulit dan suede upholstery ditawarkan secara pilihan, cuma belum dipastikan material mana yang pasaran kita akan peroleh.

Tiada perubahan mekanikal yang dilakukan, dengan N Line menerima enjin 1.6 liter pengecas turbo dan suntikan terus petrol yang membezakannya dengan model 2.0 liter naturally-aspirated. Untuk model facelift ini juga, turut diberikan penjana kuasa yang dipanggil Smartstream G1.6 T-GDi, turut menerima sistem Continuous Variable Valve Duration (CVVD) baharu.

Enjin tersebut memberikan tambahan kuasa sebanyak 21 PS, dengan jumlah keseluruhan output mencecah 198 PS pada 6,000 rpm. Manakala tork puncaknya mencecah 265 Nm dari 1,800 hingga 4,500 rpm. Membolehkannya dipecut dari 0-100 km/j dalam 7.7 saat. Transmis dwi-klac tujuh-kelajuan juga diberikan sebagai varian tunggal untuk kotak gear bagi enjin ini.

Berkenana harganya, pastiya N Line lebih mahal berbanding model standard termasuk varian 1.6 Turbo yang berharga RM151,888. Malah dijangka ia juga bakal ditawarkan dengan beberapa kit tambahan untuk membuatkan harganya lebih berbaloi – mungkin menampilkan skrin sesentuh infotainmen yang lebih besar dan juga kawalan kelajuan adaptif. Hanya kebarangkalian, kena nantikan maklumat lanjut dari HSDM sendiri.