BMW 6 Series Gran Turismo facelift 2021 dilancar di Malaysia – LCI G32 kekal CKD; 630i GT dari RM401k

BMW 6 Series Gran Turismo facelift 2021 dilancar di Malaysia – LCI G32 kekal CKD; 630i GT dari RM401k

Hari ini BMW Malaysia telah melancarkan model 6 Series Gran Turismo facelift (yang turut dikenali sebagai LCI), yang masih kekal sebagai unit pemasangan tempatan (CKD) seperti sebelum ini. LCI G32 pertama kali diperkenalkan di peringkat global pada Mei lalu dan kini kita menerima model yang lebih besar daripada 5 Series, dan hanya ditawarkan dengan varian tunggal 630i GT M Sport sahaja.

Dengan pengecualian cukai jualan (SST) yang bakal berakhir pada 30 Jun 2021, 630i GT M Sport ini ditawarkan dengan harga RM400,893. Ia turut didatangkan dengan waranti dua-tahun/tanpa had perbatuan, tetapi jika anda mahukan waranti lanjutan (lima/tahun/tanpa had perbatuan) dan pakej servis (lima-tahun/100,000 km), amaun yang perlu dibayar menjadi RM417,659.

Jentera ini menerima enjin B48 2.0 liter pengecas turbo empat-silinder sebaris petrol dengan kuasa 258 PS (255 hp) dari 5,000 hingga 6,000 rpm dan tork 400 Nm dari 1,550 hingga 4,400 rpm. Ia dipadankan dengan transmisi automatik Steptronic Sport lapan-kelajuan yang menyalurkan pacuan ke roda belakang.

Dengan larasan ini, ia boleh dipecut dari 0-100 km/j dalam 6.5 saat, dengan kelajuan maksimum cecah 250 km/j. Bagi penjimatannya, kadar penggunaan bahan api bagi 630i ini sekitar 7.3 liter per 100 km, sementara pelepasan CO2 pula 166 g/km. Satu perubahan dari ciri model pra-LCI yang disingkirkan ialah suspensi udara, dan ia hanya diberikan peredam pasif sahaja.

Seperti nama variannya, pakej M Sport diberikan secara standard, ia turut ditambah dengan bampar hadapan yang lebih agresif yang turut menampilkan bukaan udara tengah yang terbahagi tiga seksyen dan bukaan tepi menegak lengkap dengan Air Curtain dan Air Breather. Manakala di belakangnya, diberikan diffuser yang disertai oleh dua corong ekzos trapezoidal, dan turut diberikan spoiler belakang aktif pada tailgate yang secara automatiknya boleh berfungsi pada kelajuan 120 km/j, dan mengendur bila kereta mula perlahan sehingga 80 km/j – ia juga boleh dikawal secara manual.

Perubahan lain untuk model facelift ini juga termasuklah gril kidney yang agak lebar (dengan active shutter) yang berbingkaikan dengan kepingan tunggal. Ia turut menampilkan lampu utama BMW Laserlight dengan sistem LED matrix, dengan rekaan yang lebih kemas dan juga lampu nyalaan siang (DRL) berbentuk-L sama seperti model 5 Series terbaharu.

BMW 6 Series Gran Turismo facelift 2021 dilancar di Malaysia – LCI G32 kekal CKD; 630i GT dari RM401k

Manakala di belakangnya pula, garisan kontur yang mendatar pada but kini kelihatan lebih kemas dan disambung pula ke bahagian atas lampu belakang. 630i GT M Sport kini ditawarkan dengan empat warna kemasan – Bernina Grey Amber Effect, Mineral White, Carbon Black dan Sophisto Grey Brilliant Effect – semua dipadankan dengan roda aloi-ringan M 20-inci dengan gaya jejari-bintang rekaan 817 M, dibaluti tayar 245/40 di hadapan dan 275/35 di belakang dan juga pakej BMW Individual high-gloss Shadow Line.

Di dalamnya, perubahan yang dilakukan adalah tambahan untuk sistem BMW Live Cockpit Professional yang merangkumi dua paparan 12.3-inci – satu bertindak sebagai kluster instrumen digital dan satu lagi mengendalikan fungsi Navigation System Professional. Selain itu, ciri lain yang diberikan termasuklah sistem bunyi Harmon Kardon 464-wat, 16-pembesar suara dan juga ConnectedDrive.

Bahagian kabin turut menerima kemasan upholstery kulit Dakota, dan pelanggan boleh memilih sama ada warna Hitam atau Cognac, dengan jahitan dan piping kontras. Selain itu, ia turut diberikan anthracite headliner, pemuka Sensatec, kemasan ash trunkwood dengan serlahan Pearl Chrome dan juga kemasan iluminasi M pada ambang pintu, roda stereng dan pedal.

Klik untuk besarkan

Ciri lain yang turut diberikan termasuklah tempat duduk sport, sistem pencahayaan ambien dengan rekaan pencahayaan bersama enam warna, lampu karpet “welcome”, kawalan suhu empat-zon dengan corong belakang, Comfort Access, BMW Display Key, paparan utama, tirai tingkap belakang larasan kuasa dan juga bumbung kaca larasan kuasa.

Bagi sistem bantuan pemandu dan keselamatan, ciri standard yang diberikan termasuklah pakej Driving Assistant dan Parking Assistant Plus dengan kamera pandangan sekeliling. Manaka ciri yang masih dikekalkan termasuklah Amaran Ketibaan Lorong, Amaran Tukar Lorong dan amaran pelanggaran hadapan dengan brek automatik, amaran lintasan trafik belakang, pengelak pelanggaran belajang dengan kawalan kelajuan aktif dan fungsi stop & go.

Setiap pembelian bagi jentera ini melayakkan anda untuk menerima bantuan tepi jalan, aplikasi mobil BMW Group Loyalty+ dan BMW Privileges card, serta BMW Service Online.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Izwaashura Sadali

Ledakan adrenalin dan impak maksima. Antara barisan ayat yang paling digemari apabila menggambarkan prestasi sesebuah jentera. Sebelum terlibat di dalam industri auto pada tahun 2011, dia sekadar gemar melihat sport rim tetapi kini lebih suka menerokai kehebatan sesebuah jentera itu.

 
 

Add a comment

required

required