PKP 3.0: Lockdown penuh untuk Fasa Pertama di seluruh negara bermula 1 hingga 14 Jun 2021

PKP 3.0: Lockdown penuh untuk Fasa Pertama di seluruh negara bermula 1 hingga 14 Jun 2021

Pejabat Perdana Menteri baru saja mengeluarkan kenyataan media rasmi dengan mengesahkan
sidang khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) Mengenai Pengurusan COVID-19 yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri petang tadi telah memutuskan untuk melaksanakan penutupan penuh sektor sosial dan ekonomi ataupun ‘total lockdown’ Fasa Pertama di seluruh negara bagi tempoh 14 hari bermula 1 hingga 14 Jun 2021.

Di mana sepanjang tempoh tersebut, semua sektor tidak dibenarkan untuk beroperasi kecuali yang melibatkan sektor ekonomi dan perkhidmatan perlu (essential economic and service sector) yang akan disenaraikan dan diumumkan oleh MKN dalam masa terdekat ini.

“Keputusan ini dibuat selepas mengambil kira situasi terkini penularan COVID-19 di Malaysia dengan jumlah kes harian telah melebihi 8,000 kes dan kes aktif melebihi 70,000 kes. Setakat hari ini, seramai 2,552 orang telah meninggal dunia akibat wabak ini dan jumlah kematian semakin meningkat.

“Kewujudan varian-varian baharu yang lebih ganas dengan kadar kebolehjangkitan yang tinggi dan pantas juga turut mempengaruhi keputusan hari ini. Dengan peningkatan kes-kes harian yang menunjukkan trend kenaikan secara lebih mendadak sejak mutakhir ini, kapasiti hospital di seluruh negara untuk merawat pesakit COVID-19 juga semakin terhad,” ujar kenyataan rasmi terbabit.

Jelasnya, sekiranya lockdown Fasa Pertama ini berjaya mengurangkan kes-kes harian COVID-19, kerajaan akan melaksanakan lockdown Fasa Kedua, iaitu dengan membenarkan pembukaan semula beberapa sektor ekonomi yang tidak melibatkan perhimpunan yang besar serta boleh mematuhi penjarakan fizikal. Lockdown Fasa Kedua ini akan dilaksanakan untuk tempoh empat minggu selepas Fasa Pertama berakhir.

Setelah berakhirnya lockdown Fasa Kedua, langkah seterusnya ialah memasuki Fasa Ketiga, iaitu melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan seperti yang berkuat kuasa pada masa ini di mana aktiviti sosial tidak dibenarkan dan hampir semua sektor ekonomi dibenarkan beroperasi tertakluk kepada SOP yang ketat serta kehadiran secara fizikal di tempat kerja yang dihadkan.

Walau bagaimanapun, keputusan untuk beralih dari satu fasa ke fasa yang berikutnya akan tertakluk kepada penilaian risiko oleh Kementerian Kesihatan Malaysia. Penilaian akan dibuat berdasarkan perkembangan kes-kes harian semasa dan kapasiti hospital di seluruh negara untuk merawat pesakit COVID-19.

“Susulan keputusan kerajaan untuk melaksanakan penutupan penuh sektor ekonomi dan sosial, Kementerian Kewangan akan memperincikan pakej bantuan kepada rakyat dan sektor ekonomi yang terkesan. Pengumuman mengenai pakej bantuan ini akan dibuat dalam masa terdekat.

“Semua rakyat Malaysia dinasihatkan untuk terus berdisiplin dan sentiasa mematuhi SOP yang ditetapkan bagi memutuskan rantaian jangkitan COVID-19. Yang terbaik ialah duduk di rumah atau STAY AT HOME untuk bersama-sama melandaikan lengkuk jangkitan COVID-19,” nasihat Pejabat Perdana Menteri,

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Izwaashura Sadali

Ledakan adrenalin dan impak maksima. Antara barisan ayat yang paling digemari apabila menggambarkan prestasi sesebuah jentera. Sebelum terlibat di dalam industri auto pada tahun 2011, dia sekadar gemar melihat sport rim tetapi kini lebih suka menerokai kehebatan sesebuah jentera itu.

 

Comments

  • Mardiyah on May 29, 2021 at 9:33 am

    Sektor perkhidmatan, adakah termasuk sektor pembersihan? Macam mall, sekolah, pejabat perumahan galeri. Perlu dibuka kah?

    Like or Dislike: Thumb up 1 Thumb down 0
 

Add a comment

required

required