MV Agusta memperkenalkan satu lagi varian bagi model F3, iaitu F3 Rosso. Walaupun Rosso ini membawa makna merah dalam bahasa Itali, ia sebenarnya satu nama yang diberi untuk varian permulaan dan juga digunakan pada beberapa model lain seperti Brutale, Dragster dan Turismo Veloce.

Walaupun merupakan model versi permulaan, F3 Rosso ini tidak melibatkan sebarang pengurangan kuasa dan enjin tiga silinder 798 cc padanya masih lagi menghasilkan 147 hp pada 13,000 rpm dan 88 Nm tork pada 10,100 rpm. Bagi model baru ini juga, enjin tersebut telah melalui beberapa perubahan dan mematuhi tahap emisi Euro 5.

Bahagian elektronik juga telah dipertingkat berbanding model terdahulu, bermula dengan penggunaan skrin TFT-LCD 5.5 inci untuk panel instrumen dan ia boleh disambung dengan fungsi seperti Bluetooth, GPS dan navigasi melalui aplikasi MV Ride. Bukan setakat itu, model ini juga mempunyai pengesan kedudukan Mobisat (Eropah sahaja).

Untuk kawalan motosikal, F3 Rosso dilengkapi dengan empat pemetaan kawalan tork, lapan tahap kawalan cengkaman, launch control serta quickshifter untuk naik dan turun gear bagi transmisi enam kelajuannya. Suspensi menggunakan jenama Marzocchi di hadapan, Sachs di belakang dan kedua-duanya boleh dilaras secara penuh.

Kelengkapan dan perincian lain F3 Rosso adalah termasuk brek cakera berkembar 320 mm dengan angkup Brembo empat piston di hadapan, angkup dua piston di belakang, tangki bahan api 16.5 liter, berat kering 173 kg dan Cornering ABS.