Opel/Vauxhall Grandland facelift 2022 diperkenalkan

Opel/Vauxhall Grandland facelift 2022 diperkenalkan

Pengeluar kereta Jerman Opel dan jenama sekutunya, Vauxhall, telah mendedahkan model Grandland facelift, dengan menampilkan ciri rekaan dalaman dan luaran yang lebih moden. Buat setakat ini, kami hanya mempunyai sedikit perincian mengenai crossover ini, yang bakal memberikan persaingan buat Ford Kuga, Nissan Qashqai, Peugeot 3008, Renault Kadjar dan Volkswagen Tiguan.

Bahagian yang melibatkan semakan rekaan termasuklah sudut hadapan Vizor yang memiliki sedikit persamaan dengan Mokka terkini, di mana gril atas dan lampu utama disambung untuk penampilan yang lebih padu. Lampu utama juga ditampilkan dengan teknologi IntelliLux LED Pixel Light adaptif, merangkumi 84 LED dengan tiga barisan pada setiap kluster untuk memberikan pandangan yang lebih jelas.

Setiap kluster juga merupakan perumah untuk lampu nyalaan siang LED berbentuk-L, sementara apron bawah disambung pada tiga corong pengambil kecil dengan corong bersudut palsu pada hujung bampar. Di belakangnya pula, banyak ciri yang dibawa dari model pre-facelift, dan kini perkataan Grandland ditempatkan di bawah logo jenama pada tailgate.

Selain berwajah baharu, kabin Grandland turut menerima perubahan yang lebih signifikan, dengan sistem Pure Panel pada papan pemuka. Ia menempatkan dua paparan, dengan unit 10-inci bertindak sebagai kluster instrumen digital, dan unit 12-inci pula berfungsi sebagai skrin sesentuh infotainmen.

Opel/Vauxhall Grandland facelift 2022 diperkenalkan

Larasan baharu pada papan pemula ini juga menampilkan corong udara yang lebih bersudut, dan pengeluar kereta ini memilih untuk tidak mengurangkan beberapa kawalan fizikal. Kawalan akses pantas untuk beberapa fungsi infotainmen masih dikekalkan, sama seperti butang dan dail bagi sistem kawalan suhu.

Semakan lain yang turut dibuat termasuk melibatkan pemilih gear yang kini menerima butang baharu untuk fungsi bantuan parkir automatik, namun konsol tengah dan stack tengah masih dikekalkan seperti sebelum ini. Lain-lain ciri yang diberikan termasuk tempat duduk aktif ergonomik dan larasan kuasa, fungsi pengaliran dan haba, kemasukan tanpa kunci dan butang penghidup enjin, tailgate larasan kuasa bebas-tangan, Night Vision (penhesan pejalan kaki dan haiwan dalam suasana gelap pada jarak sehingga 100 meter dan amaran kepada pemandu) dan sistem infotainmen Multimedia Navi Pro.

Untuk sistem bantuan pemandu dan keselamatan, Grandland menerima Highway Integration Assist untuk kawalan kelajuan adaptif dan bantuan kekal lorong untuk pemanduan di lebuhraya yang lebih menyenangkan, walau pun ketika berhenti dan meluncur. Sistem lain yang turut diberikan termasuklah kamera 360-darjah, sementara amaran pelanggaran hadapan dengan brek kecemasan automatik, pengesan pejalan kaki, amaran ketibaan lorong, pengesan isyarat trafik dan pengesan mengantuk diberikan secara standard.

Walau bagaimana pun, kedua-dua syarikat tidak mendedahkan penjana kuasa untuk Grandland, tetapi difahamkan ia akan diberikan enjin petrol dan diesel, serta plug-in hybrid sebagai pilihan. Untuk model pre-facelift (yang dinamakan sebagai Grandland X), larasan PHEV menggabungkan enjin petrol 1.6 liter pengecas turbo dengan motor elektrik untuk keseluruhan kuasa mencecah 300 PS (296 hp) dan tork 520 Nm.

Opel Grandland facelift 2022

Vauxhall Grandland facelift 2022

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Izwaashura Sadali

Ledakan adrenalin dan impak maksima. Antara barisan ayat yang paling digemari apabila menggambarkan prestasi sesebuah jentera. Sebelum terlibat di dalam industri auto pada tahun 2011, dia sekadar gemar melihat sport rim tetapi kini lebih suka menerokai kehebatan sesebuah jentera itu.

 
 

Add a comment

required

required