Volkswagen Arteon R-Line 2.0 TSI 4Motion facelift dibuka untuk tempahan – anggaran RM245k-RM255k

Volkswagen Arteon R-Line 2.0 TSI 4Motion facelift dibuka untuk tempahan – anggaran RM245k-RM255k

Beberapa hari selepas mengeluarkan teaser, Volkswagen Passenger Cars Malaysia (VPCM) kini mengumumkan bahawa Arteon facelift sudah boleh ditempah di Malaysia. Seperti yang dilaporkan sebelum ini, coupe lima pintu tersebut akan ditawarkan dalam varian R-Line 2.0 TSI 4Motion dengan kuasa serta cengkaman lebih baik berbanding model pacuan roda hadapan sebelum ini.

Tetapi, harganya tidak murah. Jika model sebelum ini dijual pada harga RM221,065 tidak termasuk insurans, model facelift ini pula dikatakan mempunyai harga anggaran antara RM245,000 ke RM255,000. Itupun sudah mengambil kira pengecualian SST penuh sehingga hujung tahun ini, memandangkan ia adalah model yang dipasang dalam negara.

VPCM juga telah mengesahkan spesifikasi model ini, di mana ia akan dikuasakan oleh enjin empat silinder 2.0 liter TSI EA888 yang digabungkan bersama transmisi DSG klac berkembar tujuh kelajuan, untuk menghasilkan kuasa 280 PS pada 5,100 hingga 6,500 rpm dan 350 Nm tork antara 1,700 hingga 5,600 rpm. Ini bagaimanapun adalah 50 Nm lebih rendah berbanding model di Eropah.

Volkswagen Arteon R-Line 2.0 TSI 4Motion facelift dibuka untuk tempahan – anggaran RM245k-RM255k

Kelengkapan standard pada model ini kebanyakannya adalah sama seperti sebelumnya, dan ia termasuk lampu utama LED penuh, lampu belakang LED dengan penunujuk arah sequential dan rim Montevideo 19 inci. Di dalam, Arteon terus menggunakan balutan kulit Nappa dengan corak seperti gentian karbon, serta dilengkapi sistem bunyi Harman Kardon 700 watt 12 pembesar suara.

Turut diberikan adalah sistem masuk tanpa kunci, butang pemula ejin, tempat duduk pemandu larasan kuasa dengan fungsi memori, pengawal suhu automatik tiga zon, lampu dan pengelap cermin automatik, cermin pandang belakang malap sendiri, skrin infotainmen sesentuh Discover Pro 9.2 inci, penyerap adaptif Dynamic Chassis Control (DCC), kamera 360 darjah dan pintu but boleh buka tanpa sentuh.

Bagi aspek keselamatan, Arteon mendapat enam beg udara, ABS, EBD, BA, Stability Control, Post Collision Braking, Lane Keeping Assist, Blind Spot Monitoring dan Rear Cross Traffic Alert. Walaupun sudah mempunyai kamera hadapan untuk fungsi Lane Keeping, kereta ini masih tidak datang dengan Autonomous Emergency Braking.

Volkswagen Arteon R-Line 2.0 TSI 4Motion facelift dibuka untuk tempahan – anggaran RM245k-RM255k

Melihat kepada penampilan, Arteon telah dipertingkat dengan rekaan gril baru yang mempunyai jalur LED untuk menyambungkan lampu DRL kiri dan kanan, serta grafik lampu belakang baru dengan gabungan bentuk L dan corak berbintik. Model R-Line pula mendapat rekaan bampar hadapan lebih agresif, serta diffuser belakang warna hitam dengan empat lubang muncung ekzos hiasan.

Bahagian dalam Arteon diubah agak banyak untuk model facelift ini, termasuklah corong pendingin hawa berbentuk lebih tajam dan tiada lagi jam analog di tengah. Terdapat juga suis sesentuh baru untuk kawalan pendingin hawa, roda stereng yang direka semula dan lampu suasana dengan pilihan 30 warna. Tempat duduk ErgoComfort pada model ini sekarang menggunakan rekaan lebih agresif dengan penyandar kepala bersepadu dan logo R.

Arteon juga menggunakan lencana Volkswagen dan R yang baru, sekaligus menjadi model pertama yang menggunakannya di Malaysia. Pilihan warna baru yang disediakan adalah Lapiz Blue, sementara warna lain sama seperti sebelum ini iaitu Oryx White, Deep Black, Pyrite Silver dan Manganese Grey. Warna Turmeric Yellow sebelum ini sudah tiada.

Volkswagen Arteon R-Line 2020

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Durrani Sharom

Mempunyai latar belakang yang pelbagai termasuk sebagai pengurus tapak, pemandu van/lori dan pelbagai lagi, Durrani akhirnya masuk ke dalam bidang penulisan automotif lapan tahun lalu. Apa sahaja yang beroda dan berenjin membuatkan beliau teruja dan beliau percaya ‘mesin pengangkutan' ini sepatutnya adalah sesuatu yang mampu memberikan pengalaman menyeronokkan kepada penggunanya.

 
 

Add a comment

required

required